ADS
mk-logo
Berita
Mahkamah benar permohonan Mukhriz gantung notis cukai LHDN lebih RM5 juta
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menggantung Notis Taksiran Tambahan yang dikenakan terhadapnya, sehingga keputusan semakan kehakiman yang difailkan bekas Menteri Besar Kedah itu.

Permohonan semakan kehakiman itu bagi membatalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengeluarkan notis berkenaan melibatkan lebih RM5 juta bagi tahun 2017 hingga 2019.

Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Nizamuddin Abdul Hamid mewakili Mukhriz sebagai pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan Mohd Harris Hanapi yang mewakili Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri selaku responden pertama.

"Permohonan penggantungan (stay) dibenarkan," kata hakim itu pada prosiding yang turut dihadiri Peguam Persekutuan Ng Wee Li yang mewakili Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden kedua dan ketiga.

Terdahulu Mohd Harris berhujah LHDN membantah permohonan itu atas alasan sekiranya permohonan penggantungan ini dibenarkan, ia memberi kesan, apabila pembayar cukai tidak perlu membayar cukai di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.

ADS

-- LAGI

MAHKAMAH-MUKHRIZ 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

ADS

Bagaimanapun Nizamuddin berkata tiada apa-apa peruntukan di dalam Akta Cukai Pendapatan yang menghalang mahkamah untuk membenarkan suatu penggantungan.

Pada 20 Dis tahun lepas Mukhriz, 60, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi tahun 2017 hingga 2019 berjumlah RM5,020,707.18 atas alasan tindakan responden pertama itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.

Bekas Menteri Besar Kedah itu juga memohon deklarasi bahawa responden kedua (Anwar) telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan berkenaan dan memohon deklarasi responden kedua telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Turut dipohon satu perintah penggantungan terhadap Notis Taksiran Tambahan berkenaan dan penguatkuasaan sijil sehingga pelupusan permohonan semakan kehakiman itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS