Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: Bantahan keputusan perkara biasa - Fuziah

Proses bantahan dan aduan membabitkan keputusan pemilihan peringkat cabang PKR fasa satu membabitkan tujuh negeri iaitu Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak adalah perkara biasa.

Setiausaha agung parti itu, Fuziah Salleh berkata, setiap bantahan akan diteliti Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) diketuai Dr Zaliha Mustafa sebelum keputusan muktamad diumumkan.

"Jika ada bantahan, itu perkara biasa... sebab kadang-kadang yang bertanding itu tidak dapat menerima kekalahan, maka mereka merasakan mereka patut menang.

"Sebab itu mereka (mengemukakan) bantahan, jawatankuasa bantahan akan meneliti setiap bantahan dan aduan.

"JPP juga bersikap telus untuk mendengar segala bantahan dan aduan diketengahkan," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang di Indera Mahkota, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan PKR kali ini, Timbalan Menteri KPDN itu memaklumkan ia berlangsung dengan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Kalau kita tengok kepada pemilihan kali ini, berlangsung dalam keadaan aman dan damai.

"Biasanya kalau orang luar tengok pemilihan PKR ini penuh dengan apa orang kata cerita-cerita baling kerusi dan sebagainya.

"Tapi, Alhamdulillah kali ini memang tenang...segalanya berjalan lancar kerana kita sepenuhnya menggunakan sistem e-voting, melainkan mereka yang tidak mempunyai telefon pintar dan masalah (liputan) internet.

"Kita juga menggunakan teknologi 'blockchain' dan teknologi ini adalah sistem yang selamat (save and secure) dengan setiap ID (pengenalan) pengundi itu 'encrypted'‘, undi mereka juga 'encrypted'.

"Ini bermakna ia tidak boleh dicerobohi dan setakat ini tidak ada langsung aduan (diterima) mengenai cubaan untuk menceroboh (data) pemilihan," ujarnya.

Fuziah memberitahu pihaknya dimaklumkan pembangun perisian berkenaan bahawa sistem digunakan dalam pemilihan kali ini adalah sangat selamat.

Dia dalam masa yang sama menasihati semua ahli PKR dan calon agar dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan semangat seperti 'adik-beradik'.

"Kita adalah keluarga besar PKR dan proses pemilihan ini adalah satu proses reformasi dalam demokrasi," katanya.

Terdahulu, Zaliha menerusi kenyataan media pagi tadi dilaporkan berkata, JPP akan meneliti semua bantahan berkaitan keputusan Pemilihan PKR 2025 selepas proses pengundian di peringkat cabang selesai.

Dia menjelaskan pihaknya mengambil maklum bantahan dikemukakan dan akan menyemaknya secara menyeluruh bersama pembangun sistem serta juruaudit dilantik.

Antara yang tampil mengemukakan bantahan adalah Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail yang mendakwa terdapat penemuan “pelik yang menimbulkan kemusykilan” pada pengundian kali ini.

Dia tewas dalam pertandingan cabang Shah Alam di tangan Exco Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Sehubungan itu, Rodziah menggesa pemilihan peringkat cabang lain ditangguhkan.

Fasa dua pengundian melibatkan Kelantan, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Sabah bermula 18 hingga 20 April ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS