Ketua Srikandi PKR Batu Fatin Izzaty Muhammad menyifatkan video tular mengaitkannya berhubung pemberian wang di tengah pemilihan parti itu sebagai fitnah dan serangan terhadapnya.
Fatin berkata video tersebut dirakam semasa bulan Ramadan dan dia ketika itu memberi sumbangan wang kepada sejumlah anak muda yang sering dibantunya.
Justeru, katanya lagi, penyebaran video itu sekarang jelas bertujuan untuk memburukkannya.
"Sebenarnya itu budak-budak di kawasan saya yang selalu saya bantu, bagi duit minyak, bagi duit tambah nilai telefon. Saya memang selalu bantu mereka.
"Bukan perkara baru saya bantu orang kawasan ini khususnya anak muda, boleh tanya mereka. Ini bukan untuk tujuan beli undi bagi pemilihan parti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Terdahulu, tersebar video janji ‘duit raya’ yang menimbulkan kebimbangan berkaitan dakwaan politik wang di tengah pemilihan PKR pada masa ini.
Video yang kelihatan seperti dirakam secara rahsia itu antaranya memaparkan Fatin memberi wang dan meminta mengundi pasukan “YB Praba”, termasuk dirinya dalam pemilihan PKR, 19 April.
Fatin juga berkata duit raya RM100 akan diberikan sebelum mengundi dan RM100 lagi semasa mengundi.
“Kalau kita menang ada jackpot, jangan risau,” katanya lagi.
Bekas pemimpin PKR Wilayah Persekutuan dan cabang Batu Rozan Azen Mat Rasip menyuarakan kebimbangannya dan berkata dia amat kecewa kerana video itu telah merosakkan imej PKR Batu.
“…Apatah lagi PKR yang menolak budaya rasuah dalam usaha Reformasi telah berlaku sebaliknya sedemikian dalam pemilihan parti oleh pihak tidak bertanggungjawab ini secara jelas,” katanya.

Sementara itu, Prabakaran menafikan penglibatannya dan tidak pernah memberikan arahan khusus kepada mana-mana anggota parti berhubung perkara itu.
“Melihat kepada video tersebut, satu dakwaan mengatakan saya akan memberi token pada majlis berbuka puasa bersama pengundi. Hal tersebut sama sekali tidak berlaku dan tiada dalam jadual pasukan saya,” katanya.
‘Soalan seperti sudah dirancang’
Ditanya mengenai perkataan "jackpot" yang disebut dalam video berkenaan, Fatin enggan mengulas lanjut dan berkata penjelasan yang diberikannya sudah memadai.
Menurutnya, dalam video itu dia hanya menceritakan tentang kebaikan Prabakaran dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat selain menjelaskan peranan kerajaan Madani.
"Saya terkejut dengan penyebaran video berkenaan, saya istighfar dan selawat. Saya tahu siapa yang merakam dan saya tak sangka ini tujuannya. Saya kecewa dibalas begini oleh orang yang saya bantu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dia juga menyifatkan soalan yang dikemukakan pemuda ketika bertemu dengan pada masa itu juga umpama telah dirancang.
“Kalau diteliti, ia seperti dirancang untuk memerangkap saya...saya tak perasan sebab dah biasa dengan mereka.
"Kalau nak kata bagi duit masa majlis berbuka puasa pun tidak berlaku, kalau saya nak bagi duit untuk mereka sokong saya, sudah pasti saya pastikan tiada video yang merakam terlebih dulu.
"Nasihat saya bertandinglah secara baik dan berhemah, bukannya menjatuhkan pihak lain," katanya lagi.
