ADS
mk-logo
Berita
Warga asing cuba seludup hidupan liar bernilai RM13,000 ditahan di KLIA
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 2:49 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Pihak berkuasa menahan seorang individu yang disyaki penyeludup bersama-sama 14 haiwan liar pelbagai spesies di KLIA semalam.

Lelaki itu ditahan ketika pemeriksaan bersama yang dijalankan Polis Bantuan Lapangan Terbang dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Suspek adalah warga India yang akan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli di Tamil Naidu, India.

“Hasil pemeriksaan mendapati penumpang tersebut membawa sebuah bagasi yang mengandungi tiga ekor disyaki kura-kura African spurred tortoise, empat ekor disyaki kura-kura Sulawesi forest dan tujuh ekor disyaki biawak harlequin monitor,” kata Jabatan Perhilitan di Facebook hari ini.

ADS

Jabatan itu berkata suspek turut gagal menunjukkan dokumen sah untuk membawa hidupan liar tersebut keluar dari Malaysia.

Semua haiwan tersebut, dengan anggaran bernilai RM13,000, berjaya diselamatkan, kata jabatan itu lagi.

“TIndakan membawa keluar spesies hidupan liar yang dilindungi dari Malaysia tanpa dokumen yang sah adalah kesalahan di bawah Sekyen 65 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Sekyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

“Jabatan Perhilitan ingin memberi amaran kepada mana-mana individu yang menyimpan atau menjalankan aktiviti jenayah hidupan liar agar menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas,” kata jabatan itu lagi.

ADS

Orang ramai boleh membantu usaha penguatkuasaan terhadap aktiviti perdagangan atau penyeludupan hidupan liar dengan memaklumkan kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau laman webnya.

KLIA pusat penyeludupan hidupan liar

Malaysia dianggap sebagai titik transit utama bagi penyeludupan spesies terancam ke bahagian lain di Asia.

Pada bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegur Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung peningkatan kes penyeludupan hidupan liar keluar dari negara.

Loke berkata ia merupakan isu serius dan pengendali lapangan terbang perlu mengambil tindakan segera untuk mengatasinya.

Bagasi yang didaftar masuk berada di bawah tanggungjawab perkhidmatan pengendalian bagasi MAHB dan bukannya Jabatan Kastam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS