ADS
mk-logo
Berita
Razman akur digantung 6 bulan walau tak puas hati
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 1:03 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria, hari ini menyatakan rasa tidak berpuas hati atas tindakan penggantungan yang dikenakan terhadapnya.

Walaupun akur dengan keputusan tersebut, Razman berkata, dua daripada tiga tuduhan yang kenakan ke atasnya digugurkan selepas hujahan balas dengan fakta-fakta dikemukan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN Perak.

Katanya, tuduhan ketiga itu ialah dia didakwa menyalahi peraturan 40 (11) kerana menggunakan perkataan-perkataan yang membawa maksud hasutan dan mengeluarkan perkataan yang berunsur perkauman.

Jelasnya, kenyataan itu berbunyi: “Yang mata macam saya, kulit macam saya, darah macam saya, sudah pasti ramai yang di sini macam saya, saya minta kita sama-sama bangun menentang pengkhianatan yang membawa (kepada) orang asing mengibar bendera negara mereka dalam negara kita”.

“Saya minta bangun menentang pengkhianatan itu. Tak kira Cina tak kira bangsa. Di mana unsur menghasut?

ADS

“Saya kurang berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, tapi kita sebagai pembuat undang-undang dan mereka pelaksana undang-undang dan peraturan, jadi keputusan itu kita akurlah walaupun dalam hati tidak berpuas hati,” katanya pada sidang media selepas pengantungan terhadapnya di pagi tadi.

Razman (PN- Gunung Semanggol) digantung selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu Ong Boon Piow (PH-Bercham) membentangkan usul terhadap Razman di dewan itu, yang disokong oleh Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup).

ADS

Penggantungan itu dibuat selepas majoriti anggota DUN pada persidangan hari ini bersetuju terhadap usul berkenaan.

Tindakan diambil terhadap pemimpin PAS itu selepas dia dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN pada 4 Dis tahun lalu atas dakwaan melakukan fitnah dan kenyataan berbaur perkauman.

Razman berkata, persoalan dilontarkannya adalah sesiapa yang mengibar bendera asing tanpa mengira sama ada orang tempatan atau orang asing menjadi satu kesalahan.

“Saya mengajak wahai rakyat Malaysia, kita bangun menentang kepada perkara itu. Perkara itu dibangkit oleh pihak pembuat undang-undang dan dikatakan ini menghasut.

“Saya menghasut rakyat Malaysia supaya bertindak menentang mereka yang melanggar undang-undang.

“Ini diambil tindakan, tak tahulah apa yang berlaku, jadi kita akur dengan keputusan yang ada ini, yang banyak kepentingannya dan saya harap kepada semua rakyat malaysia kita harus bangkit memperbetulkan keadaaan ini,” katanya.

Dia turut membangkitkan isu dianggapnya ketidakadilan dalam keanggotaan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN Perak apabila hanya tiga wakil rakyat pembangkang dilantik daripada keseluruhan tujuh ahli.

“Walau bagaimanapun kami lawan, apabila pihak kerajaan nak bawa juga perkara ini (ke DUN), kami tetap kalah juga.

ADS

“Speaker patut buat pembaikan, biar sama (ahli jawatankuasa) barulah adil,” katanya.

Susulan keputusan itu, Razman – yang sebelum ini didakwa direhatkan daripada tugasnya sebagai Pesuruhjaya PAS Perak – berkata dia sebaliknya memiliki masa yang banyak untuk berkempen untuk PN dalam Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning.

“Saya boleh sepenuh masa bantu di sana dan nak menceritakan kepada rakyat (supaya) angkatlah pembuat undang-undang yang nak menjaga undang-undang, bukan mengenepikan undang-undang dan membela orang melanggar undang-undang.

“Kita kena tolak mereka yang melanggar undang-undang. Saya berharap rakyat boleh menilai secara keseluruhan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS