Siasatan dan tindakan yang dikenakan pihak berkuasa ke atas pemimpin kanan Bersatu, kata PN Melaka, mengundang banyak persoalan kepada orang ramai.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, berkata dakwaan berlaku rasuah berhung konsesi pelombongan pasir dibangkitkan seawal Okt 2021 lagi.
Ketika itu, katanya, kerajaan Melaka ditadbir oleh kerajaan BN pimpinan Sulaiman Md Ali selaku ketua menteri.
Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, Mohamad Ali Mohamad – yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam – pula masih menganggotai Umno.
“Secara tiba-tiba cerita lama ini muncul semula, mungkin kerana Datuk Seri Ali tidak lagi berada dalam Umno dan mungkin juga kerana dia sudah menyertai Bersatu dan PN.
“Mungkin sekiranya Datuk Seri Ali masih berada dalam Umno, ceritanya sudah jadi berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Yadzil, apa yang berlaku sekarang merupakkan “cebisan awal” kepada isu konsesi penambakan laut di Melaka.
Semalam Malaysiakini melaporkan, SPRM menahan Mohamad Ali untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun agensi antirasuah negara itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai penangkapan bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara berkenaan.
Mohamad Ali sebelum ini merupakan Ketua Umno Tangga Batu dan Timbalan Pengerusi Umno Melaka.
Bekas guru itu dilantik sebagai senator pada 15 Dis 2020. Umno memecat keahlian Mohamad Ali pada 3 Mei 2024 selepas mendapati dia menyertai Bersatu.
Selain Mohamad Ali, SPRM turut mengambil keterangan daripada isteri dan anak-anak ahli politik terbabit di pejabatnya di Melaka sebelum dibebaskan kira-kira pada jam 9 malam kelmarin.
Mustahil cuma seekor ‘jerung’ terlibat
Mengulas mengenai penahanannya Mohamad Ali berkata dia kekal bersemangat tinggi berdepan dengan ujian tersebut dan memilih untuk tidak menyembunyikan wajah atau tangannya yang bergari dari lensa kamera media.
“Jika tahun lepas saya direman oleh pihak polis, tahun ini pula saya direman oleh pihak SPRM.
“Saya tak memerlukan jaket bagi menutup gari yang mengikat tangan saya, saya tak memerlukan penutup muka bagi menutup wajah saya,” katanya.
Menurut Yadzil dia berasa hairan kerana Mohamad Ali saja yang disiasat manakala Sulaiman tidak dikenakan tindakan sama sedangkan dia merupakan ketua menteri ketika dakwaan rasuah itu dikatakan berlaku.
“Kenapa siasatan tidak dibuat juga ke atas Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh (ketua menteri sekarang) yang merupakan Pengerusi Umno Melaka dan dikatakan menjadi penentu segala keputusan ketua menteri pada ketika itu?
“Siapa exco atau timbalan exco dari Umno yang terkait dengan kelulusan konsesi tambakan laut?
“Kenapa Datuk Seri Utama Idris Haron (mantan ketua menteri Umno) tidak disiasat sedangkan nama beliau disebut dalam laporan polis dan SPRM berkaitan kes ini?” katanya lagi.
Yadzil yang juga Adun Bemban menegaskan, SPRM wajar menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk melihat kepada siapa yang menjadi pemberi dan penerima rasuah yang dimaksudkan.
“Kalau ada yang menerima (rasuah) pasti ada yang memberi. Kalau ada yang memohon pasti ada yang meluluskan.
“Mustahil hanya ‘seekor jerung‘ yang terlibat. Mustahil pihak kerajaan negeri pada ketika itu tidak terlibat sama sekali,” katanya.