ADS
mk-logo
Berita
Puad jawab Dr M: Betul, contohi Pak Lah, jangan contohi hipokrasi
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 12:05 PM
Dikemaskini: 4:05 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi membuat satu sindiran tajam berhubung kenyataan Dr Mahathir Mohamad ketika memberi penghormatan kepada Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi, semalam.

Mengulas, kenyataan Mahathir yang menyifatkan penggantinya, Abdullah, yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Lah' sebagai pemimpin yang perlu dicontohi kerana tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatannya apabila kejayaan yang kurang memuaskan.

“Memang tepat apabila Tun Mahathir menyifatkan Allahyarham Pak Lah lambang kepimpinan berhemah dan matang yang wajar dicontohi. Dia akur bila didesak letak jawatan.

“Pak Lah juga tidak pernah tinggalkan Umno walaupun dia dalam Team B ketika itu. Dia tidak tubuh parti baru apa lagi mahu membunuh Umno,“ katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

ADS

Speaker DUN Johor itu merujuk kepada pergaduhan dalaman di kalangan pemimpin Umno pada 1987, yang menyaksikan Umno dibatalkan pendaftarannya.

Team A ketika itu diketuai oleh Mahathir, manakala Team B diketuai bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah.

Pertelingkahan dalaman menyaksikan ramai pemimpin Team B disingkirkan daripada parti. Mereka yang disingkirkan secara langsung atau tidak kemudiannya bertindak membentuk Semangat 46.

Pak Lah walaupun dipinggirkan terus kekal setia bersama Umno.

Bagaimanapun, Razaleigh kemudiannya membubarkan parti itu pada 1997, dengan ahlinya menyertai semula Umno.

Dalam sindiran sinisnya terhadap Mahathir, Puad juga berkata Abdullah tidak pernah menjadi pemimpin autokratik dengan memerintah sampai puluhan tahun dan tidak cuba menjadi perdana menteri lagi selepas bersara.

“Dia tidak pernah berusaha untuk jadi PM lagi setelah bersara. Apa lagi untuk jadi PM interim.

“Dia legasi yang dicontohi. Jangan contohi hipokrasi,” kata Puad lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS