ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Mereka berkuasa di dunia tapi Tuhan perintah sekalian alam’
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 11:41 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Bekas timbalan speaker Dewan Negara Mohamad Ali Mohamad yang ditahan SPRM atas dakwaan rasuah masih bersemangat berdepan ujian dilaluinya.

Dia justeru memuat naik tulisan di media sosial bahawa dia tidak perlu menutup gari pada tangan atau menyembunyikan wajah daripada kamera.

“Jika tahun lepas saya direman oleh pihak polis, tahun ini pula saya direman oleh pihak SPRM.

“Saya tak memerlukan jaket bagi menutup gari yang mengikat tangan saya, saya tak memerlukan penutup muka bagi menutup wajah saya,” kata timbalan ketua penerangan Bersatu.

Peguam Mohamad Ali, Rafique Rashid Ali, berkata anak guamnya ditahan pada pukul 6.30 petang kelmarin, ketika SPRM menyerbu rumahnya di Tangga Batu, Melaka.

ADS

SPRM turut mengambil keterangan isteri dan anak-anaknya di pejabatnya di Melaka.

Mohamad Ali dikatakan ditahan bawah Seksyen 16 Akta SPRM, berhubung dakwaan rasuah.

Pemimpin akar umbi Bersatu Badrul Hisham Shaharin mendakwa penahanan itu bermotif politik dan berkaitan dengan pertembungan Ali dengan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, yang juga pengerusi Umno negeri.

Bagaimanapun terdapat pemimpin kanan Bersatu yang dilihat cuba menjarakkan parti itu dengan Mohamad Ali. 

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz antaranya berkata dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Mohamad Ali berlaku ketika timbalannya itu berada dalam Umno, bukan Bersatu.

Ali merupakan pemimpin Umno sebelum menyertai Bersatu dan pernah menjadi timbalan pengerusi Umno Melaka dan ketua Umno Tangga Batu.

Ali menjadi timbalan yang-dipertua Dewan Negara pada Disember 2020 hingga Mei 2023.

Sementara itu, Ali juga meminta sahabat-sahabatnya tidak bersedih dengan penahanan itu.

“Andai saya takut, saya akan ‘menurut’ tapi saya pilih untuk melawan,” katanya.

“Dan setiap perlawanan ada jalan yang penuh liku yg perlu saya tempuh. Rakyat masa kini lebih celik memerhati, lebih bijak dalam pertimbangan,” katanya.

Mohamad Ali juga berkata dia berserah sepenuhnya kepada kuasa Tuhan.

“Jika mereka ada kuasa di dunia, ingatlah kita ada Tuhan yang memerintah sekalian alam. Semoga rahmat Allah bersama kita semua Insya-Allah.

“Ini bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS