Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mahu tindakan tegas dan tidak berkompromi diambil ke atas sebuah akhbar Cina yang membuat kesilapan dengan menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Sin Chew Daily semalam menerbitkan ilustrasi muka depan jong yang mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena dengan lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara itu.
Bagaimanapun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak mempunyai bulan sabit.
Dalam permohonan maaf yang diterbitkan semalam, Sin Chew memohon maaf atas "kesilapan teknikal" tersebut. Sambil menzahirkan rasa kesal, mereka juga menyusun jari sepuluh memohon jutaan maaf kepada semua rakyat.

Ia kemudian membetulkan ilustrasi di versi digital dan menerbitkan semula ilustrasi yang diperbetulkan dalam edisi cetakannya hari ini.
Maszlee dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun berkata sekadar permohonan maaf tidak memadai.
“Bendera Malaysia adalah soal kedaulatan!
“Mohon maaf hanya boleh diterima jika dilakukan oleh orang yang jahil, dungu dan tersilap.
“Sebuah akhbar yang tersohor berusia hampir seratus tahun (diasaskan pada tahun 1929), mempunyai pembaca lebih setengah juta (500,000) serta mempunyai ketua editor dan para editor berpengalaman melakukan kesilapan pada bendera negara sendiri?
“Apakah permohonan maaf kecil sahaja memadai? Seseorang perlu ambil tanggungjawab,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, kata pemimpin PKR itu, seseorang perlu “letak jawatan atau dihadapkan ke muka pengadilan.”
Katanya jika tidak, maruah negara dan Jalur Gemilang negara akan berterusan diperlecehkan.
“Harap pihak berwajib ambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dalam isu ini,” katanya lagi.

Bendera Malaysia terdiri daripada garisan 14 jalur merah dan putih berselang-seli dan lambang bulan sabit dan bintang 14 mata yang dikenali sebagai bintang Persekutuan.
14 jalur, dengan lebar yang sama, mewakili status yang sama dalam persekutuan 13 negara anggota dan wilayah persekutuan, manakala 14 titik bintang mewakili perpaduan antara entiti ini.
Bulan sabit pula mewakili agama Islam sebagai agama persekutuan.