ADS
mk-logo
Berita
Khalid: K'jaan wajar betulkan kesilapan PN di Kg Sungai Baru

WAWANCARA | Dalam usaha kerajaan Madani untuk mengetengahkan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA), pelbagai kritikan ditimbulkan sekali gus mewujudkan pelbagai persepsi negatif.

Justeru Amanah Wilayah Persekutuan menyarankan agar Putrajaya menjadikan kes di Kampung Sungai Baru sebagai komitmen membuktikan sisi positif undang-undang tersebut.

Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berpendapat pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa perlu memperbetulkan kesilapan yang dibuat oleh kerajaan PN.

Menurut Khalid, kerajaan sekarang tidak boleh menggunakan alasan tidak campur tangan kerana isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru itu sudah pun menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) oleh kerajaan terdahulu.

ADS

"Sepatutnya apa yang berlaku dengan Kampung Sungai Baru itu adalah model kepada apa yang akan berlaku di bawah URA.

"Dikatakan sekarang ini - kerana tidak ada URA maka kerajaan tak boleh campur tangan - itu tidak betul kerana kerajaan dah campur tangan apabila guna Akta 486.

"Macam mana digunakan akta itu pun menjadi tanda tanya kerana (kerajaan)tidak dapat 100 peratus persetujuan ketika itu, tapi digunakan juga atas alasan kepentingan pembangunan ekonomi," katanya.

Menjelaskan hal itu dalam wawancara dengan Malaysiakini pada kelmarin, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, tanah di Kampung Sungai Baru itu sebenarnya merupakan tanah yang paling bernilai di kawasan Kampung Baru.

ADS

Banyak keresahan timbul

Bagaimanapun, katanya, harga belian yang ditawarkan adalah "sangat rendah dan tidak munasabah".

"Kerajaan kena betulkan (keadaan), Anwar kena betulkan, Zaliha kena betulkan, tak boleh lepas tangan.

"Kalau situasi ini tak diperbetulkan pihak pembangkang akan menggunakannya untuk menolak URA ataupun menimbulkan keresahan terhadap URA, .

"Itulah sebabnya mereka tanpa segan silu turun padang (kononnya) nak menjadi pembela, sedangkan merekalah puncanya," tambah Khalid.

Dia yang juga Pengarah Komunikasi Amanah Nasional berkata, agak menghairankan apabila kerajaan Madani seperti tidak faham apa yang berlaku terkait isu Kampung Sungai Baru.

Katanya sangat penting Putrajaya dilihat memberi pembelaan kepada penduduk terbabit.

"Memang sepatutnya kerajaan Madani bertindak membetulkan kesalahan yang dilakukan kerajaan PN," katanya.

ADS

Dia berkata demikian ketika mengulas sejauh mana kontroversi pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru boleh dijadikan contoh kesediaan kerajaan untuk menunjukkan sisi positif URA nanti.

Isu Kampung Sungai Baru kembali hangat diperkatakan selepas Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada kewajaran pihak yang terlibat dalam pengambilan tanah di kawasan terbabit - ketika PN memerintah - memberi penjelasan kepada penduduk yang terjejas.

Ini berlaku selepas penduduk mendakwa menteri kabinet dari PN memihak kepada pemaju dan bukannya pemilik tanah semasa rundingan pampasan.

Tuan Ibrahim adalah antara 23 wakil pembangkang yang menghadiri sesi taklimat bersama penduduk Kampung Sungai Baru yang terjejas akibat rampasan tanah.

Nilai sangat menghairankan

Khalid berkata apabila kerajaan Madani mahu membentangkan URA, ia menimbulkan banyak keresahan kerana pemilik dikatakan hilang kuasa dan tidak boleh berunding selain terpaksa menerima apa saja nilai pampasan yang ditetapkan.

Tegasnya, jika berdasarkan pengalaman dalam kes di Kampung Sungai Baru, ia tidak menjamin keadilan kepada pemilik tanah.

"Apabila digunakan Akta Pengambilan Tanah mereka bukan lagi pemilik tanah dan mereka dah tidak boleh berunding.

“Tanah mereka diambil alih dan mereka ditawarkan harga - sama ada setuju atau tidak - itu sajalah yang mereka akan dapat.

"Satu lagi kena faham mereka yang diberi pampasan tunai, tidak lagi diberikan rumah ganti kerana mereka dah buat pilihan mereka nak pampasan tunai.

"Tetapi Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) memberikan penilaian yang sangat menghairankan dan akhirnya pemilik tidak mendapat keadilan.

“Di sinilah sepatutnya kerajaan campur tangan," katanya.

Menurut Khalid jika URA berkuat kuasa dan pembangunan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada 70 peratus atau 80 peratus penduduk, pemilik yang tidak bersetuju tetap terpaksa menerima pampasan yang ditawarkan.

Dari aspek itulah, katanya, kekhuatiran itu muncul.

Tambahnya, keadilan tidak tertegak berdasarkan kes di Kampung Sungai Baru kerana pemilik tanah tiada hak untuk berunding dan terpaksa menyerahkan tanah walaupun mereka tidak bersetuju dengan nilai pampasan yang diberikan.

"Inilah yang kita kena tentukan, bahawa apabila kita nak luluskan URA nanti kerajaan mesti menunjukkan komitmennya terhadap pampasan yang adil.

"Pendirian kami ialah pampasan yang diberikan kepada pemilik tanah di Kampung Sungai Baru mesti dinaikkan mengikut harga pasaran, bukan mengikut penilaian dibuat oleh JPPH yang sangat mencurigakan pada zaman PN," katanya.

Potensi kekayaan Melayu dibebaskan

Khalid sambil menambah penilaian yang dibuat oleh syarikat swasta - mencecah RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap kaki persegi - adalah nilai yang sewajarnya diterima penduduk Kampung Sungai Baru.

Mengulas lanjut mengenai URA, Khalid menegaskan, dakwaan pihak tertentu yang mengatakan akta tersebut akan mengusir orang Melayu dari bandar adalah satu pembohongan yang nyata.

Dia menegaskan soal pengusiran tidak akan berlaku sama sekali kerana pemilik asal unit rumah akan ditawarkan unit baru di lokasi yang sama.

"Kalau kawasan itu kawasan (tanah) rizab Melayu, maka semua yang membeli unit baru juga dibina mesti orang Melayu.

"Kalau kawasan bukan rezab Melayu maka tawaran pasaran akan terbuka, pada masa itu mungkin orang bukan Melayu juga akan masuk ke dalam kawasan-kawasan yang pada ketika ini mungkin diduduki majoriti Melayu.

"Namun orang-orang Melayu (pemilik asal) ini mereka akan dapat unit-unit yang baru, sama ada mereka akan terus kekal duduk si situ atau akan berpindah bergantung pada mereka.

"Hakikatnya melalui usaha ini kekayaan orang Melayu yang 'terbenam' selama ini dapat dibuka, dibebaskan dan pemilik-pemilik sekarang yang dianggap sebagai orang yang kurang berkemampuan dengan sendirinya akan menjadi jutawan kerana mendapat unit-unit yang mahal dan baru yang kita harap mereka dapat di situ," katanya.

Dengan kemudahan yang cukup baik dan suasana lebih ramai orang Melayu mencapai kejayaan dari segi kekayaan hartanah, kata Khalid, ia merupakan dasar yang baik.

Amanah Wilayah Persekutuan, kata Khalid, bersetuju dengannya dan tertakluk kepada syarat pampasan yang adil.

Dalam perkembangan berasingan, Khalid juga menyeru kerajaan supaya meneruskan usahanya sebelum ini untuk membangunkan Kampung Baru Kuala Lumpur.

Hal itu kerana, katanya, pembangunan dan pengurusan sedia ada tidak di berada pada tahap yang terbaik, selain banyak masalah yang memerlukan sentuhan kerajaan.

"Pertama, pemilikan secara turun-temurun dan bergenerasi menyebabkan satu lot tanah mempunyai ramai penama, bahkan ada kes yang mencecah 100 nama waris dalam satu geran tanah yang seluas 8,000 kaki persegi.

"Keadaan ini tentulah menyulitkan pemilik," katanya.

Kata Khalid, keadaan itu menjadikan aset tersebut sukar dimanfaatkan oleh pewaris.

Justeru, katanya, sangat wajar kerajaan menanganinya secepat mungkin dan manfaatnya apa dinikmati oleh orang Melayu.

"Kerajaan kata nak tolong orang Melayu, inilah peluang yang sangat baik apabila mereka boleh membantu masyarkat Melayu yang mungkin generasi ketiga atau keempat Kampung Baru," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS