ADS
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah benar permohonan Bersatu batal saman MP Labuan

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan permohonan Bersatu untuk membatalkan saman Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang mencabar pengguguran keahliannya secara automatik daripada parti itu.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Bersatu berkata Hakim Datuk Nor Hayati Mat memutuskan demikian selepas mendapati saman yang difailkan oleh Suhaili selaku plaintif tidak mempunyai merit.

"Permohonan Bersatu untuk membatalkan saman dibenarkan dan mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM5,000 kepada parti itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 31 Julai 2024, Bersatu menerusi Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya memfailkan permohonan itu antaranya atas alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan perkara pokok yang dibawa plaintif menurut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 selain mendakwa Suhaili tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan saman itu kerana beliau bukan lagi ahli parti berkenaan.

Suhaili, yang memfailkan saman itu pada 1 Julai 2024, berkata pada 2 Nov 2023, Lembaga Disiplin Bersatu mengemukakan surat memaklumkan pertuduhan telah dibuat terhadap beliau atas dakwaan melanggar Artikel 22.1 (f) perlembagaan parti itu.

ADS

Beliau berkata surat itu memaklumkan bahawa satu laporan telah dibuat berhubung kenyataan akhbarnya yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suhaili berkata pada 3 Nov 2023, beliau menulis surat kepada Lembaga Disiplin Bersatu bagi menjelaskan bahawa kenyataan itu dibuat kerana kegagalan parti itu menyediakan dana untuk membantu rakyat di Labuan.

Beliau mendakwa walaupun memberikan penjelasan munasabah, Lembaga Disiplin secara salah di sisi undang-undang dan tidak rasional memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun pada 7 Nov 2023.

Susulan itu, Suhaili berkata beliau menyaman parti itu melalui Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 19 Dis 2023 namun kes tersebut dibatalkan selepas mahkamah berkenaan memutuskan ia perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya.

Pada 17 Mei 2024, Suhaili mendakwa menerima surat daripada Setiausaha Agung memaklumkan bahawa keahlian beliau digugurkan secara automatik atas alasan telah memfailkan saman terhadap parti itu berdasarkan Artikel 10.2.6 Perlembagaan Bersatu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS