ADS
story images
story images
mk-logo
Berita
Ali didakwa terlibat rasuah era Umno, bukan Bersatu - Tun Faisal
Diterbitkan:  Apr 15, 2025 6:20 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Mohamad Ali Mohamad berlaku ketika timbalannya itu masih berada dalam Umno dan memegang jawatan timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

Justeru katanya, laporan berita mengatakan "SPRM menahan timbalan ketua penerangan Bersatu atas dakwaan rasuah" tidak memberi gambaran dan konteks yang betul mengenai penahanan Mohamad Ali.

"Saya ada menghubungi pihak peguam yang mewakili Datuk Seri Ali dan kami dimaklumkan bahawa dakwaan yang dibuat oleh SPRM adalah berkaitan pemberian konsesi pada tahun 2021 sehingga tahun 2023, iaitu semasa pentadbiran negeri berada di bawah kerajaan Barisan Nasional dan Ketua Menteri Melaka ketika itu adalah pemimpin Umno.

"Semasa itu Datuk Seri Ali sendiri masih merupakan Ketua Bahagian Umno dan Timbalan Yang Di Pertua Dewan Negara (10 Disember 2020 sehingga 10 Mei 2023).

ADS

“Oleh sebab itu, tajuk yang lebih tepat adalah "SPRM tahan Bekas Timbalan Speaker atas dakwaan rasuah," atau "SPRM tahan Bekas Ketua Bahagian Umno atas dakwaan rasuah"," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan SPRM menahan Mohamad Ali yang juga timbalan ketua penerangan Bersatu semalam berhubung dakwaan rasuah.

Menurut peguamnya Rafique Rashid Ali, Mohamad Ali ditahan pada pukul 6.30 petang, ketika pasukan SPRM menyerbu rumahnya di Tangga Batu di Melaka.

Sementara itu Bernama hari ini melaporkan Mohamad Ali direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berkaitan kerja-kerja tambakan laut antara 2021 hingga 2023.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman mengeluarkan perintah reman hingga 20 April terhadap lelaki berusia 61 tahun itu selepas menerima permohonan daripada SPRM.

Menurut sumber, suspek disiasat kerana disyaki meminta suapan terhadap projek tambakan laut bernilai RM44 juta di Kota Laksamana, di Melaka sejak lima tahun lepas.

Suspek dipercayai menerima suapan dalam bentuk harta, iaitu empat kereta mewah.

Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie turut mengesahkan penahanan itu di pejabat SPRM Melaka pada 4.55 petang semalam.

‘Ali bukan pegawai yang buat keputusan’

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata dia tidak pasti bagaimana dakwaan rasuah itu boleh dibuat SPRM kerana pada waktu itu Mohamad Ali tidak berada dalam kerajaan negeri Melaka dan kerajaan pusat.

"Dia juga bukan dalam kalangan pegawai yang membuat keputusan bagi kerajaan negeri Melaka dan juga kerajaan Malaysia dalam urusan konsesi.

"Kenapa Datuk Seri Ali tidak didakwa semasa dia berada di dalam Umno oleh kerajaan PH-BN negeri Melaka, iaitu sepanjang tahun 2021 hingga 2023?

ADS

“Kenapa Datuk Seri Ali hanya didakwa oleh SPRM sekarang, pada tahun 2025 selepas dia tidak lagi menjadi ahli Umno? Adakah ini merupakan satu lagi pendakwaan terpilih terhadap pembangkang?

"Atau, adakah ini pendakwaan terpilih ke atas seorang bekas pemimpin Umno yang sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang menentang ketua menteri dan kerajaan negeri Melaka?" soal Tun Faisal

Bagaimanapun kata Tun Faisal paling penting Bersatu atau PN tiada kaitan sama sekali dalam urusan konsesi pada tahun 2021 hingga 2023 ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS