Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM16.45 billion bagi membangunkan sebuah kilang pemasangan helikopter di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di Melaka.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kontrak pembangunan kilang berkenaan diberikan kepada pengendali helikopter terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara Weststar Group, yang akan dibangunkan dalam masa tiga tahun di tanah seluas 6.88 hektar.
Beliau berkata selain pembinaan kilang pemasangan helikopter, ia juga akan menjadi hab penyelenggaraan helikopter meliputi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
“Hari ini merupakan lawatan kerja pertama Weststar Group untuk melihat dan membuat kajian tentang kawasan yang telah dikenal pasti untuk membangunkan kilang pemasangan helikopter dalam kawasan LTAM.
“Dengan pelaburan berjumlah RM16.45 billion daripada Kerajaan Persekutuan, ia akan memberi satu sinar baharu dalam industri aeroangkasa di Melaka dan kerajaan negeri akan memberi segala sokongan bagi memastikan projek ini dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang,” katanya kepada pemberita di LTAM Melaka hari ini.
Beliau berkata demikian selepas sesi lawatan tapak bagi cadangan pembinaan kilang pemasangan helikopter oleh Weststar Group, yang turut dihadiri yang Pengerusi dan Pengasas Weststar Group Tan Sri Syed Azman Ibrahim dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Ab Rauf berkata projek nasional berkenaan memberi peluang besar kepada Melaka daripada pelbagai aspek, antaranya menjadikan negeri itu sebagai hab MRO helikopter di rantau ini sekali gus meningkatkan ekonomi negeri.
Beliau berkata selain itu, pembinaan kilang tersebut juga bakal menawarkan peluang pekerjaan khususnya dalam industri aeroangkasa kepada rakyat tempatan di negeri itu.
“Dengan adanya Malaysian Flying Academy di Melaka juga, pihak Weststar diberi amanah untuk melahirkan 1,500 juruterbang helikopter dalam masa setahun, bagi menyokong industri perkhidmatan pengangkutan udara di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan kilang berkenaan tidak akan menjejaskan penerbangan komersial yang beroperasi di LTAM, sebaliknya memberi nilai tambah pada industri aeroangka di negeri itu.
- Bernama