ADS
story images
story images
mk-logo
Berita
PM beri penghormatan terakhir kepada Pak Lah di Masjid Negara

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara di Kuala Lumpur.

Anwar tiba di dewan solat utama Masjid Negara kira-kira satu tengah hari, diiringi beberapa menteri.

Antara menteri yang mengiringinya ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Perdana menteri turut meluangkan masa beberapa minit untuk bertemu ahli keluarga Allahyarham.

Isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, anak perempuannya, Nori Abdullah bersama suami Khairy Jamaluddin, antara ahli keluarga yang berada di sisi jenazah Allahyarham sepanjang upacara penghormatan terakhir itu berlangsung.

ADS

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusoff turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Pak Lah.

Kedua-dua pemimpin itu tiba sekitar pukul satu tengah hari dan disambut oleh anak lelaki Allahyarham Kamaluddin Abdullah, sebelum menunaikan solat zuhur dan menyertai solat jenazah bersama para jemaah.

Pak Lah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi dan IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa negarawan itu dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS