Walaupun berbeza politik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hassan, pertentangan itu perlulah terkawal dan mestilah ada rasa kebimbangan terhadap balasan Allah.
Membuat catatan ringkas melalui media sosial, Zulkifli berkata, semua orang perlu mengelak daripada terpalit dalam kesalahan qazaf - yang memberi kesan besar dalam hidup manusia.
“Hindari jenayah qazaf. Jaga diri kita daripada terjebak dalam perbuatan tersebut.
“Berbeza politik tak salah, tapi jangan sampai tak takut azab Allah. Ittaqullah (bertakwalah kepada Allah),” katanya hari ini.
Walaupun tidak menyebut secara jelas, kenyataan Zulkifli dipercayai merujuk kepada insiden penyokong PN yang melaungkan kecaman terhadap pihak penyokong kerajaan semasa hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning di Tapah, Perak baru-baru ini.
Terdahulu tular rakaman video yang memaparkan seorang lelaki yang memakai kemeja T bertulis PN melaungkan kata-kata kejian yang dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Undi BN dapat peliwat,” katanya yang sempat berbalas perang mulut dengan penyokong parti kerajaan.
Qazaf adakah kesalahan syariah apabila ada individu menuduh seseorang lain berzina, terlibat dalam kegiatan liwat tanpa membawa empat orang saksi yang adil atau tanpa pengakuan tertuduh.
Mengikut hukum hudud, kegagalan membawa saksi atau bukti atas tuduhan tersebut membolehkan si penuduh dihukum sebat 80 kali dan tidak layak memberi keterangan sebagai saksi seumur hidup.
Individu terbabit juga tidak layak mewalikan pernikahan anak perempuannya. Kegagalan mematuhi syarat tersebut memungkinkan pernikahan berkenaan tidak sah.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat yang menganggap tuduhan orang lain terlibat liwat tidak termasuk dalam kategori berkenaan.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Rozaimi Ramle, turut memberikan nasihat dan pandangan yang sama.
Dia yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin berharap semua pihak yang terlibat dengan kempen PRK di Ayer Kuning perlu menjaga lisan daripada tuduhan sedemikian.
“Saya ingin menasihati sahabat-sahabat yang terlibat dengan kempen PRK agar menjaga lisan daripada ayat begini.
“Bimbang termasuk dalam dosa qazaf. Qazaf termasuk dosa besar dalam Islam.
“Amat memalukan melaungkan perkataan begitu,” katanya di Facebook.