ADS
mk-logo
Berita
‘Tiada masalah' - PN akan turunkan bahan kempen guna gambar ahli Umno

PRK AYER KUNING | PN tiada masalah untuk menarik balik bahan kempen yang mengundang kritikan baru-baru ini kerana memaparkan gambar seorang ahli BN tanpa kebenarannya.

Menyifatkannya sebagai perkara kecil, Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata seterus PN seharusnya mencari kaedah yang lebih baik untuk menyerang calon mereka, Abd Muhaimin Malek.

“Kalau tak setuju (berhubung poster), kita boleh turunkan dan minta maaf.

“Kalau tak bagi guna (gambar tersebut), tak ada masalah. Kita akan turunkan, tiada masalah,” katanya ketika sidang media di pusat operasi PN bagi PRK Ayer Kuning di Bidor, Perak hari ini.

ADS

Pada masa sama, Idris berkata dia yakin PN tidak melakukan sebarang kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1958.

Dia juga berkata bahan kempen itu dibuat tanpa sebarang niat tersembunyi.

Katanya, sudah menjadi perkara biasa apabila seseorang calon dirakam ketika bertemu pengundi, gambar itu digunakan untuk mempromosikan calon tersebut dan diiringi dengan kata-kata yang dapat meningkatkan imejnya.

“Orang yang buat (bahan kempen) tak tahu apa. Tengok gambar dan caption menarik, dia buat (bahan kempen),” katanya lagi.

Laporan polis

Sementara itu, dalam satu video yang dikongsikan di media sosial, seorang lelaki yang mendakwa menjadi individu yang dipaparkan pada bahan kempen itu menegaskan dia ahli seumur hidup Umno.

Lelaki bernama Suhaimi Ismail itu menegaskan gambarnya digunakan PN tanpa kebenarannya.

Dia juga berkata isterinya telah membuat laporan polis dua hari lalu berhubung perkara itu.

Semalam, Muhaimin dilihat tidak terlalu gusar dengan dakwaan itu dan menjelaskan dia calon untuk semua rakyat.

Pengundi Ayer Kuning akan membuat pilihan mereka pada 26 April ini, dengan Muhaimin berdepan dengan calon BN Yusri Bakir dan calon PSM Bawani KS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS