ADS
mk-logo
Berita
PAS Pahang tuntut tubuh RCI siasat kes ceroboh tanah kerajaan
Diterbitkan:  Apr 15, 2025 11:36 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

PAS Pahang hari ini mendesak agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat apa sebenarnya yang berlaku dalam isu penerokaan tanah kerajaan untuk ditanam pokok musang king di Raub.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata apa yang berlaku itu bukan melibatkan sekumpulan petani kecil seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya, kat Rosli, kegiatan penanaman berkenaan merupakan suatu jenayah terancang yang melibatkan tanas seluas beribu-ribu ekar.

"Bayangkan jika anda memiliki sebidang tanah, kemudian seseorang datang, merampas dan mengusahakannya selama 40 tahun, dan kini ada pula pihak ketiga yang menandatangani petisyen meminta agar perampas itu dibenarkan terus merampas harta anda.

ADS

"Adakah ini adil? Adakah ini yang dipanggil keadilan?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosli yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984 jelas mengatakan bahawa pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan melakukan kesalahan serius.

Tindakan itu, tambahnya, membolehkan pelaku dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda RM500,000.

Namun, kata Rosli, tindakan kumpulan Save Musang King Alliance (Samka) mengumpul sekitar 400 tandatangan untuk diserahkan kepada pihak berkuasa agar operasi penebangan pokok durian itu dihentikan menunjukkan mereka seolah-olah menganggap undang-undang tidak wujud.

"Seperti kumbang yang mendekati api, mereka yang menandatangani petisyen ini sedang bermain dengan kedaulatan undang-undang," katanya.

Kata Rosli siasatan perlu dijalankan untuk mengenal pasti siapa pihak yang terlibat melindungi atau bersubahat dengan kegiatan pencerobohan berkenaan selama puluhan tahun.

"Kami menuntut agar sebuah RCI dibentuk dengan segera untuk menyiasat bagaimana kegiatan pencerobohan berskala besar ini dapat berlangsung selama 40 tahun tanpa tindakan.

"Semua pihak yang terlibat - daripada penceroboh hingga pegawai-pegawai yang berkompromi - harus ditahan, disiasat dan didakwa tanpa kompromi kerana inilah satu-satunya cara untuk mengembalikan kedaulatan undang-undang dan menghormati titah Sultan Pahang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS