ADS
mk-logo
Berita
‘Daripada pekan koboi, Pak Lah majukan Kepala Batas jadi bandar’

Penduduk di Parlimen Kepala Batas menyifatkan perdana menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab membawa perubahan di kawasan berkenaan.

Turut bersedih dengan berita pemergian Abdullah, rata-rata penduduk mengenangnya sebagai individu yang bertanggungjawab mengubah pekan koboi Kepala Batas menjadi sebuah bandar yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk institusi pendidikan sepanjang tujuh penggal menjadi ahli Parlimen di kawasan itu. 

Bekas Adun Bertam Shariful Azhar Othman berkata semasa Abdullah menjadi perdana menteri, Parlimen Kepala Batas berubah dengan pembangunan sehingga menjadi sebuah bandar dengan pelbagai kemudahan.

"Tun Abdullah bukan sahaja guru saya dalam bidang politik, malah turut berperanan dalam memberi tunjuk ajar dan nasihat tentang hal berkaitan Islam," katanya ketika ditemui di Kepala Batas malam tadi.

ADS

Shariful Azhar yang juga pengerusi Kariah Masjid Al Jamiul Badawi di situ berkata sebaik mendapat tahu berita pemergian Abdullah yang mesra dipanggil Pak Lah malam tadi, penduduk terutama yang berada di masjid di sekitar Kepala Batas menganjurkan majlis bacaan Yasin.

"Masjid Al Jamiul Badawi merupakan masjid yang sangat sinonim dengan Pak Lah kerana ia masjid dari zaman arwah Tok Wan Pak Lah, iaitu Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulama terkenal seterusnya ayah Pak Lah dan kemudiannya dia sendiri," katanya.

Pak Lah ketika dilantik sebagai perdana menteri

Dia berkata sepanjang Pak Lah menjadi ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal terutama ketika menjadi perdana menteri, Allahyarham berulang kali memesan agar masjid itu kekal seperti asal.

"Saya boleh yakinkan tidak ada perkara negatif tentang Pak Lah, tutur katanya indah, ibadahnya cantik dan seorang insan yang mulia.

ADS

"Insya-Allah kami di masjid akan anjurkan bacaan Yasin dan tahlil buat Allahyarham kerana ini masjid Pak Lah, jadi kita akan terus kenang untuk selama-lamanya,” katanya yang akan ke ibu negara bagi memberi penghormatan terakhir bersama kariah masjid di Makam Pahlawan, Masjid Negara hari ini.

Sementara itu, seorang pesara guru Mohd Saleh Rashid, 72, yang mengenali Allahyarham sejak kecil berkata sukar untuk mencari pemimpin seperti Pak Lah yang bukan sahaja bersifat lemah lembut, tetapi juga mudah mesra dengan orang ramai tanpa mengira pangkat dan darjat.

"Pak Lah memang rapat dengan penduduk Kepala Batas terutama di Permatang Bertam ini, dia bangunkan Kepala Batas untuk rakyat di sini, malah saya sendiri tengok Pak Lah dengan pemimpin politik bukan Islam juga sangat baik.

"Saya memang puji Pak Lah kerana apabila dia balik ke Parlimen di sini tiada protokol dengan penduduk," katanya.

Bagi bekas ketua MIC Kepala Batas SST Muniandy yang juga rakan rapat Allahyarham, Pak Lah adalah seorang pemimpin yang tenang, berhemah tinggi dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap keputusan.

"Saya berpeluang menyaksikan sendiri dia berinteraksi dengan rakyat penuh hormat, sabar dan rendah diri, malah caranya mendengar masalah rakyat dan memberi respons yang berfakta serta bersandarkan nilai kemanusiaan memberi gambaran jelas tentang keperibadiannya yang mulia," katanya.

Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 7.10 malam tadi.

Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Abdullah yang merupakan ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2008, menjadi perdana menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS