Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mencapai tahap keterlibatan antarabangsa yang lebih menyerlah ketika era pentadbiran Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri, kata Felo Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan.
Azmi berkata di bawah kepimpinan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, pendekatan dasar luar Malaysia yang tenang namun tegas telah memperkukuh peranan negara dalam organisasi itu, sekali gus menjadikan OIC wadah penting bagi menangani isu-isu yang melibatkan dunia Islam.
“Semasa Pak Lah menjadi perdana menteri, OIC begitu menyerlah. Memang betul, itu tidak dapat dinafikan. Bukan sahaja kerana kepimpinan Pak Lah, tetapi juga kerana kerjasama erat dengan pemimpin negara-negara Islam lain yang memberi kekuatan kepada pertubuhan itu,” katanya semasa temu bual bersama program khas Belasungkawa Tun Abdullah Ahmad Badawi di Radio Bernama.
Mengulas lanjut, Azmi berkata ketokohan dan pendekatan kepimpinan Allahyarham dalam mengemudi dasar luar Malaysia ketika menjadi perdana menteri dan menteri luar turut dikenang sebagai era yang menonjolkan nilai ketulusan dan ketenangan dalam diplomasi antarabangsa.
Dia berkata ketika dunia berdepan tekanan geopolitik yang kompleks, termasuk isu-isu sensitif di rantau Asia Tenggara, Pak Lah memperlihatkan keperibadian yang tenang, tersusun dan berhemah dalam mendepani cabaran berkenaan.
“Diplomasi tersirat atau soft power dalam hubungan Malaysia dengan negara jiran atau negara lain bergantung kepada kepimpinan nombor satu (negara), dan dalam kes kita, perdana menteri.
“Ketika itu, ketenangan Pak Lah dalam menghadapi cabaran-cabaran telah memberi impak positif kepada Malaysia. Pemimpin luar menyaksikan bahawa pemimpin Malaysia ini mahu menyelesaikan masalah, bukan memburukkan keadaan,” katanya.
-Bernama