ADS
mk-logo
Berita
Guna gambar penyokong BN: Saya calon untuk semua, kata Muhaimin

PRK AYER KUNING | Calon PN Abd Muhaimin Malek dilihat bersahaja ketika menjawab dakwaan yang dia menggunakan imej anggota BN tanpa kebenaran untuk bahan kempennya.

Ditemui pemberita di acara ceramah PN malam tadi, Abd Muhaimin berkata dia tidak ingin membuat musuh, sebaliknya terbuka untuk berkawan dengan semua pihak.

“Saya calon untuk seluruh rakyat, saya tak santuni orang PAS atau orang Umno sahaja…saya mencari seluruh warga, baik Melayu atau bukan Melayu.

“Saya rasa tak perlu rasa apa-apa (berhubung dakwaan tersebut) kerana saya cuba jadi wakil untuk semua, saya buka hati seluas-luasnya untuk terima semua orang - Melayu dan bukan Melayu, Islam dan bukan Islam,” katanya.

ADS

Ditanya jika bahan kempen yang menjadi pertikaian itu akan diturunkan, Abd Muhaimin yang juga pengerusi PN Tapah berkata di tidak pasti akan tindakan susulan yang akan diambil, namun memberi jaminan akan patuh kepada sebarang arahan yang diterima.

Abd Muhaimin Malek

Semalam, satu laporan polis dibuat di balai polis Temoh berhubung dakwaan Muhaimin menggunakan gambar seorang individu untuk bahan kempennya tanpa kebenaran.

Dalam laporan itu, isteri kepada lelaki yang dirakam berdiri di sebelah Muhaimin berkata, suaminya memegang jawatan dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Temoh Stesen.

Selain dakwaan ini, Muhaimin juga berdepan kontroversi berhubung dakwaan dia menipu kelayakan akademik dalam permohonan tauliah mengajar agama di Perak.

Pengundi Ayer Kuning akan membuat pilihan mereka pada 26 April ini, dengan Muhaimin berdepan dengan calon BN Yusri Bakir dan calon PSM Bawani KS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS