ADS
mk-logo
Berita
Isu Kg Sungai Baru: Muhyiddin tidak boleh lepas tangan - Khalid

WAWANCARA | Bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menegaskan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin tidak boleh berlepas tangan dalam kemelut isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Ini kerana katanya, ia berlaku ketika Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi perdana menteri dan perkara ini sepatutnya dibincangkan dalam kabinet - melainkan jemaah menteri ketika pentadbiran PN itu membuat keputusan sesuka hati.

"Kerana mereka (dalam) kerajaan yang sama, sepatutnya perkara ini dibincangkan dalam kabinet, lainlah nak beritahu bahawa kerajaan ketika itu semua jalan ikut suka.

"Muhyiddin pun tak boleh lepas tangan nak kata dia tak terlibat, sedangkan dia perdana menteri ketika itu apabila Annuar Musa (menteri Wilayah Persekutuan ketika itu) gunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

ADS

"Saya nak nyatakan semua ahli-ahli parlimen PN, sama ada PAS atau Bersatu tidak boleh lepas tangan kerana mereka berada di parlimen apabila saya membantah tindakan Annuar di Dewan Rakyat dan sehingga ke tahap kena berhujah dengan Shahidan dalam kamar khas berhubung isu Kampung Sungai Baru.

"Ahli parlimen (PN) yang berpuluh-puluh (orang) itu mendiamkan diri," katanya yang juga pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan dalam wawancara bersama Malaysiakini di Shah Alam, semalam.

Ahad lalu Muhyiddin dalam kenyataan media menafikan penglibatannya dalam pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, ketika di bawah pentadbiran PN.

Dia mendakwa ditohmah oleh pihak-pihak tertentu berkaitan isu tersebut.

Penafian Muhyiddin itu dibuat apabila isu berkenaan kembali hangat selepas Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada kewajaran pihak yang terlibat dalam pengambilan tanah di kawasan terbabit - ketika pentadbiran PN memberi penjelasan kepada penduduk yang terjejas.

Ini berlaku selepas penduduk mendakwa menteri kabinet dari PN memihak kepada pemaju dan bukannya pemilik tanah semasa rundingan pampasan.

Tuan Ibrahim adalah antara 23 wakil pembangkang yang menghadiri sesi taklimat bersama penduduk Kampung Sungai Baru yang terjejas akibat rampasan tanah.

Lebih 100 pemillik rumah tak setuju

Mengulas secara ringkas sejarah projek pembangunan kawasan itu, Khalid berkata pada awalnya projek itu diusahakan oleh pemaju yang berunding dengan pemilik tanah dan rumah secara langsung tanpa penglibatan kerajaan pada zaman pentadbiran BN sekitar tahun 2016 atau 2017.

Pada ketika itu katanya, Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani sendiri dikatakan menasihati pemilik tanah supaya menolak tawaran itu dengan alasan syarikat pemaju yang terlibat tidak mempunyai kewangan kukuh.

"Tetapi pada zaman saya menjadi menteri pada 2018, isu ini bagaikan diam, seolah-olah mati sehinggalah pemilik-pemilik tanah Kampungg Sungai Baru tertanya-tanya, jadi ke tidak projek ini? Saya pun langsung tidak tahu mengenai apa yang ditawarkan oleh pemaju dan siapa yang bersetuju dan tidak bersetuju.

"Tetapi selepas kerajaan PH 1.0 jatuh melalui proses 'tebuk atap' akhirnya Annuar menjadi menteri wilayah dan proses untuk melaksanakan pembangunan di kampung sungai baru telah dirancakkan, sehingga ke tahap dia (Annuar) menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang membenarkan pemaju diberikan tanah itu walaupun ada lebih 100 pemilik kebanyakannya pemilik rumah teres yang tidak bersetuju.

ADS

"Mereka tidak bersetuju kerana khuatir syarikat pemaju yang dikatakan tidak mempunyai kekuatan kewangan dan ada kemungkinan projek itu akan terbengkalai. Oleh kerana itu mereka tidak mahu, akhirnya mereka tidak akan mendapat rumah yang dijanjikan dan mereka menuntut dibayar pampasan pada masa ini, bukan nak dapat rumah gantian.

"Lebih kurang 100 pemilik menolak dan rumah-rumah mereka telah diambil secara paksa dengan penggunaan akta pengambilan tanah," jelasnya.

Khalid berkata, apabila Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri, posisi Annuar digantikan dengan Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan dia meneruskan apa yang diusahakan pendahulunya dengan membenarkan proses penyelesaian pengambilan tanah.

"Ketika itu penilaian yang diberi kepada mereka yang tidak bersetuju dengan tawaran pemaju pada harga RM450 hingga RM500 kaki persegi, yang dilakukan (penilaian) oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu jabatan kerajaan.

"Ini amat mengelirukan, timbulkan persoalan kerana jabatan yang sama pada masa saya menjadi menteri telah memberikan penilaian tanah di Kampung Baru yang sah berstatus MAS (Malay Agricultural Settlement). Nilainya RM650 hingga RM850 sekaki persegi mengikut lapis kedudukan tanah.

"Tiba-tiba apabila dibuat penilaian untuk Kampung Sungai Baru, penilaiannya jatuh merudum, sedangkan Kampung Sungai Baru pada ketika ia dinilai dianggap bukan berstatus MAS.

"Isu status MAS atau tidak baru saja ditimbulkan tapi kalau ia bukan tanah MAS pada ketika itu, sepatutnya jabatan yang sama memberikan penilaian yang lebih tinggi sebaliknya memberikan penilaian yang lebih rendah. Perkara ini saya telah nyatakan berkali-kali, benda yang sepatutnya diselidik, disiasat, macam tidak dilakukan apa-apa," katanya.

Khalid sekali lagi menegaskan betapa pihak pembangkang tidak perlu berpura-pura menjadi pembela kerana merekalah yang bertanggungjawab dalam isu berkenaan.

"Pada masa itu kamu berdiam, daripada PAS ataupun Bersatu Bersatu, (sama ada) Muhyiddin, Tuan Ibrahim jangan tiba-tiba nak salahkan pihak lain atau nak salahkan dua bekas menteri mereka, hakikatnya mereka tidak pun membela pada ketika penduduk memerlukan pembelaan," katanya yang juga bekas ahli Parlimen Shah Alam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS