Badan Peguam Malaysia tampil mempertahankan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan membidas bekas menteri undang-undang, Nazri Abdul Aziz kerana mengambil kenyataan berkaitan pelantikan kehakiman di luar konteks.
Presiden Badan Peguam Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata kenyataan Nazri bukan sahaja mengelirukan, malah mengsensasi isu tersebut dan berisiko menggugat kepercayaan awam terhadap badan kehakiman.
“Menggambarkan seruan (Tengku Maimun) untuk reformasi sebagai ‘kenyataan politik’ adalah tidak tepat.
Kenyataan tersebut jelas merujuk kepada keperluan reformasi, dan beliau menyuarakannya dalam nada yang berhemah dan objektif.

“Doktrin pengasingan kuasa merupakan tonggak penting dalam mana-mana sistem demokrasi yang berfungsi.
Salah satu elemen penting dalam doktrin itu adalah memastikan proses pelantikan hakim bebas daripada pengaruh politik,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Nazri mengkritik ucapan Tengku Maimun, khususnya cadangan agar peranan perdana menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan kehakiman dimansuhkan.
Nazri yang juga bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat didakwa menyifatkan kenyataan ketua hakim negara yang bakal bersara itu sebagai "kenyataan politik", menyoal masa kenyataan tersebut yang dibuat menjelang persaraan Tengku Maimun pada 30 Jun.
‘Seolah-olah negara koboi’ - Nazri
"Dari segi profesionalisme, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan beliau, tetapi apabila beliau mengeluarkan kenyataan meminta tiada campur tangan perdana menteri dalam lantikan hakim tertinggi negara. Ini tidak sepatutnya berlaku.
"Saya melihat kenyataan yang dikeluarkan beliau sangat tidak profesional sebagai seorang Ketua Hakim Negara dan juga penjawat awam, lebih-lebih kenyataan itu dilakukan di luar negara dan mendapat perhatian oleh masyarakat dunia.
"Ini menunjukkan seolah-olah kita ini sebagai sebuah negara 'koboi' yang tidak menjalankan tugas mengikut undang-undang," kata Nazri.

Sementara itu, Badan Peguam turut memetik kenyataan Tengku Maimun dalam ucapannya pada 8 April sempena Persidangan Undang-Undang Komanwel di Malta, yang menyebut:
“Baru-baru ini, terdapat cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan Perlembagaan Persekutuan bagi memansuhkan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim.
“Pada pandangan saya, perubahan sebegini akan mengukuhkan kebebasan proses pemilihan, dan memastikan pelantikan kehakiman benar-benar berasaskan merit serta bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik.”
Ezri (gambar bawah) menegaskan segala usaha mesti diambil untuk melindungi badan kehakiman daripada gangguan yang tidak wajar dan perbincangan awam yang terbuka mengenai isu ini bukan sahaja wajar, tetapi harus digalakkan.

“Perbahasan yang bermakna — berasaskan fakta dan didorong oleh kepentingan awam — adalah penting dalam membina akauntabiliti dan memperkukuh institusi yang ingin kita lindungi.
“Kredibiliti mahkamah bukan hanya bergantung kepada kualiti hakim, tetapi juga kepada integriti proses pelantikan mereka,” katanya lagi.
Kenyataan CJ selari hasrat Madani
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan pada kenyataan berasingan berkata dia tidak bersetuju dengan dakwaan Nazri bahawa kenyataan Tengku Maimun bersifat politik.
Menurutnya, kenyataan ketua hakim negara itu bersifat umum dan tidak ditujukan secara langsung kepada perdana menteri.
"Perdana menteri sendiri, baru-baru ini telah menyatakan komitmen bahawa kerajaan Madani akan melihat semula proses pelantikan hakim ini untuk ditambah baik.
"Sudah tentu cadangan untuk mengeluarkan peranan Perdana Menteri juga akan diteliti.
"Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Madani mengakui bahawa proses itu boleh ditambahbaik dan sekaligus membuktikan sekali lagi komitmen kerajaan ini terhadap reformasi institusi,” katanya.