Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengucapkan ‘penghargaan’ kepada pihak yang menghasilkan poster karikatur dirinya untuk dipamerkan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Sabtu lalu.
Secara berseloroh, Loke turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong PN kerana membawa poster karikatur itu.
"Saya pun suka reka bentuk (karikatur tersebut) jadi terima kasih kepada mereka (yang membawa poster tersebut) sebab menjunjung gambar saya.
"Walaupun saya tak hadir hari penamaan calon (pada Sabtu) mereka menjunjung gambar saya seolah-olah mereka penyokong saya," katanya kepada pemberita selepas majlis menyampaikan bantuan Tabung DAP kepada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights di Subang Jaya petang tadi.
Kelmarin, penyokong PN mencuri tumpuan apabila membawa poster karikatur memaparkan Loke dalam aksi menyuruh diam ketika proses penamaan calon PRK Ayer Kuning di Dewan Merdeka, Tapah.
Idea itu dicetuskan sebagai reaksi terhadap kenyataan Loke yang meminta pihak tertentu supaya ‘diam’ selepas Tabung Bantuan Bencana yang diwujudkan parti itu untuk membantu mangsa kebakaran di Putra Heights dikritik.
Kesemua sumbangan disalur pada mangsa
Sementara itu, DAP hari ini menyerahkan keseluruhan sumbangan berjumlah RM965,000 kepada mangsa letupan paip gas berkenaan yang dikumpul parti itu.
Loke menjelaskan, mangsa yang kehilangan tempat tinggal menerima bantuan RM5,000, manakala mereka yang mengalami kerosakan separa menerima RM2,000 setiap seorang.
"Ini adalah sumbangan daripada kutipan dana orang ramai melalui tabung bencana yang ditubuhkan oleh DAP.
"Seperti yang kita telah umumkan sebelum ini, kempen kutipan kita hanya berlangsung selama satu minggu dan ia telah pun berjaya mengumpul hampir RM965,000," katanya.