DAP menyerahkan sepenuhnya kepada peguam parti berhubung penahanan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata dia juga dimaklumkan bahawa peguam parti itu ada ketika pihak polis menahan Chow.
“Peguam kita sedang menguruskan dan memang peguam ada bersama beliau (proses mengambil keterangan) dan kita akan uruskan mengikut undang-undang.
“Saya maklum dia baru sahaja ditahan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menyampaikan bantuan Tabung DAP kepada mangsa yang terjejas akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, petang ini.
Terdahulu pihak polis hari ini menahan Chow dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam.
Kedua-dua mereka ditahan pada pukul 4 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.
Semalam, Ketua Polis Daerah Raub, Shahril Abd Rahman, berkata Chow dan empat individu lain akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan di sebuah ladang durian di Raub.
Minggu lepas, para pekebun durian berkenaan bertembung dengan pegawai kerajaan negeri ketika mereka sedang menebang pokok Musang King di tanah yang dipertikaikan berhampiran Sungai Klau.
