ADS
mk-logo
Berita
Mangsa kebakaran Putra Heights terima kunci rumah sementara lusa
Diterbitkan:  Apr 14, 2025 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berdaftar untuk mendapatkan bantuan rumah sementara di Pangsapuri Seri Suria di Kota Warisan, Sepang boleh mendapatkan kunci dan memasuki rumah sewa masing-masing pada Rabu ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah, berkata 100 unit Rumah Selangorku ditawarkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

Kataya selepas proses pendaftaran hari ini selesai, kerajaan akan melakukan semakan dengan pejabat daerah untuk memastikan hanya mangsa yang berdaftar menerima bantuan berkenaan.

“Selepas daftar kita semak dulu dengan pejabat daerah, kemudian kalau tidak ada masalah pada Rabu kita serah kunci dan mereka boleh masuk.

"Terpulang kepada mereka (untuk masuk bila).

ADS

“LPHS menyediakan 100 unit rumah di Kota Warisan yang berkeluasan 1,000 kaki persegi, di dalamnya ada tiga bilik dan dua bilik air. Ini rumah baru yang lengkap dengan kipas dan lampu,” katanya semasa taklimat tawaran rumah sementara di Masjid Putra Heights hari ini.

Borhan berkata kadar sewa yang ditetapkan ialah RM850 sebulan berbanding kadar sebenar RM1,800, dan mekanisme pembayaran akan dibincangkan untuk semua mangsa terlibat.

Selain itu, katanya, pengecualian deposit turut diberikan kepada mangsa yang berdaftar hari ini.

ADS

Dia berkata selepas enam bulan, pertimbangan akan diberikan dan jika mangsa belum memiliki rumah dan boleh memohon untuk terus menyewa di unit berkenaan.

Berdasarkan Skim Smart sewa, tambah Borhan, penghuni boleh ditawarkan untuk tinggal di rumah berkenaan selama tempoh lima tahun atau tiga tahun dengan layak menerima bayaran balik 30 peratus.

“Sekiranya terdapat mangsa yang ingin mendapatkan rumah sewa selain yang ditawarkan LPHS ini, pihak kerajaan akan cuba bantu,” katanya.

Kebakaran pada 1 April lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar.

Sebanyak 218 rumah lagi tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah Puchong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS