ADS
mk-logo
Berita

Penduduk Taman Sri Muda di Shah Alam hari ini memberi tempoh tujuh hari kepada kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelesaikan isu banjir di kawasan itu.

Mereka juga menghantar isyarat bahawa kegagalan berbuat demikian mungkin akan dijawab oleh penduduk terbabit dengan protes besar-besaran.

Mereka mendakwa tiga pam air baru yang dipasang oleh kerajaan pada tahun lalu - menerusi projek bernilai jutaan ringgit - gagal berfungsi apabila diperlukan, menyebabkan kawasan itu dilanda banjir sebanyak dua kali tahun ini.

Jurucakap penduduk, Umagandhan Krishnan, dalam sidang media berkata mereka kini mengalami trauma dan hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat berlaku.

ADS

“Kami beri kerajaan dan pihak berkuasa masa sehingga tengah hari Ahad ini (20 April).

“Jika masih tiada sebarang maklum balas daripada kerajaan sama ada persekutuan atau negeri mahupun menteri besar, perdana menteri, ahli parlimen yang berkenaan, Adun, atau ahli majlis (PBT), maka pada jam 2 petang kami akan lancarkan protes di Taman Sri Muda.

“Kami akan adakan protes besar-besaran kerana kami tidak boleh tunggu lagi. Kami percaya tiada jalan lain, kami perlu bertindak sendiri,” katanya kepada pemberita petang ini.

Umagandhan mengadakan sidang media itu berhampiran sebuah pintu air di Taman Sri Muda bersama kira-kira 30 orang penduduk yang terkesan dengan masalah tersebut.

Aktivis itu - yang juga merupakan penduduk setempat - berkata kawasan perumahan terbabit dilanda banjir dua kali setakat tahun ini walaupun projek pemasangan pam air siap tahun lalu.

Katanya, kejadian terbaru berlaku empat hari selepas hujan lebat selama beberapa jam membanjiri ratusan rumah dengan air paras lutut yang bercampur dengan sisa kumbahan dari kolam takungan berhampiran.

Menurut Umagandhan lagi, beberapa penduduk termasuk dirinya cuba memeriksa keadaan pam air tersebut tetapi tidak dibenarkan masuk.

Keluar belanja besar

Namun, dia mendakwa seorang pekerja memaklumkan bahawa pam baru itu tidak dapat berfungsi kerana tiada bekalan elektrik.

Semasa banjir besar pada Dis 2021, Taman Sri Muda merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas dengan kebanyakan rumah dinaiki air sehingga lebih 3 meter di beberapa kawasan.

Ribuan penduduk juga terpaksa berpindah dan 14 orang maut.

Media melaporkan kerajaan Selangor memasang tiga pam skru baru di Taman Sri Muda tahun lalu melalui projek bernilai RM7.4 juta.

ADS

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, berkata pam tersebut mempunyai kapasiti mengepam 1,700 liter air sesaat.

Umagandhan Krishnan (tengah) bercakap kepada media di Shah Alam hari ini

Kata Umagandhan kewujudan satu projek pembangunan baru yang berada bersebelahan dengan pintu air semasa boleh meningkatkan lagi risiko banjir di kawasan berkenaan.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui Malaysiakini semasa sidang media menyatakan rasa kecewa terhadap masalah yang berulang itu dan mendakwa aduan mereka tidak diendahkan.

Pekerja sektor swasta, Suzana Kassim, 55, berkata keluarganya telah mengalami kerugian besar akibat banjir sepanjang 30 tahun menetap di Taman Sri Muda dan menggesa kerajaan memberi perhatian kepada penderitaan mereka.

“Kami sudah banyak kali dilanda banjir. (Pada 2021) Rumah saya tenggelam sepenuhnya dan tak ada apa yang dapat diselamatkan.

“Saya terpaksa keluarkan belanja besar untuk membaiki rumah dan mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih. Mujurlah saya masih bekerja.

"Bayangkan penderitaan kami yang tak ada pendapatan tetap," katanya.

Parasuraman

Seorang kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Parasuraman, 42, berkata keluarganya mengalami kerugian besar, termasuk melibatkan dua kereta mereka yang rosak teruk akibat banjir.

“Banjir berlaku hampir setiap tahun di sini, dan ia menyebabkan trauma kepada penduduk, terutamanya apabila hujan,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Siddhart, 40, berkata anak-anaknya trauma selepas terpaksa menghabiskan tiga hari di atas bumbung semasa banjir pada 2021.

“Mereka sangat takut apabila dengar bunyi hujan. Mereka trauma dan sentiasa tanya sama ada rumah kami akan banjir semula atau tidak.

“Saya kerugian antara RM60,000 hingga RM80,000 dalam kejadian itu, termasuk kos membaiki kereta,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS