ADS
story images
story images
mk-logo
Berita
Tarif: KKM kini teroka ubat generik, peralatan perubatan dari China, India

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengambil langkah proaktif untuk melindungi industri penjagaan kesihatan negara, berikutan ketidaktentuan yang mungkin timbul berhubung perubahan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata kementerian kini sedang meneroka sumber alternatif bagi ubat generik dan peralatan perubatan dari negara seperti China dan India dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada AS dan Eropah.

“Kementerian juga sedang menilai semula bilangan dan nilai kontrak melibatkan ‘Single Registration Holders’ yang akan tamat tempoh dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang bagi menilai ketersediaan produk pilihan generik alternatif di pasaran.

“Agensi Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) akan menyediakan laluan bagi memproses permohonan pendaftaran produk generik dari luar negara, khususnya dari China dan India,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran rasmi Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor dan rumah terbuka Aidilfitri di Kuala Selangor hari ini.

Dr Dzulkefly berkata antara tahun 2023 hingga suku pertama 2025, sebanyak 12 kontrak antara KKM dan syarikat farmaseutikal tempatan melibatkan produk farmaseutikal yang diperoleh dari AS telah ditandatangani, bernilai RM162.47 juta (USD36.43 juta). Kontrak-kontrak ini dijangka tamat secara berperingkat bermula 2026.

ADS

Beliau berkata meneruskan pembelian ubat dari AS berkemungkinan menyebabkan peningkatan kos sekiranya negara ini melaksanakan tarif balas terhadap bahan yang digunakan dalam produk berkenaan.

“Kos ubat dan peranti perubatan import akan meningkat sekiranya bahan aktif farmaseutikal (API) atau komponen dalam peranti perubatan terjejas oleh tarif berkenaan.

“Pengeluar ubat generik tempatan mungkin bakal menanggung kos lebih tinggi untuk mendapatkan API dari luar negara ekoran peningkatan permintaan daripada pembekal farmaseutikal AS,” katanya.

Beliau berkata syarikat farmaseutikal Novugen Pharma Sdn. Bhd dan Biocon Sdn. Bhd. dan Biocon Sdn. Bhd., antara pemain industri yang kini mengeksport produk ke AS termasuk rawatan kanser, kardiologi, onkologi dan ubat dalam bentuk suntikan.

Dr Dzulkefly berkata kementerian telah mengadakan sesi libat urus dengan persatuan industri utama, termasuk yang mewakili syarikat farmaseutikal utama AS pada 9 April, melibatkan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) dan Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI).

Pihak berkepentingan lain yang turut terlibat ialah Persatuan Pembekal Farmaseutikal Malaysia (MAPS), Persatuan Peralatan Perubatan Malaysia (MMDA) dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI).

Dr Dzulkefly berkata pada 2024, eksport peralatan perubatan Malaysia ke AS bernilai RM13.69 bilion (USD3.07 bilion), mewakili 36.97 peratus daripada jumlah eksport global berjumlah RM37.03 bilion.

Daripada jumlah eksport RM13.69 bilion ke AS itu, RM5.01 bilion atau 36.6 peratus terdiri sarung tangan pembedahan dan pemeriksaan perubatan.

Beliau berkata eksport farmaseutikal Malaysia ke AS pada 2024 sebanyak RM560 juta, menyumbang 18.48 peratus daripada jumlah eksport farmaseutikal negara yang berjumlah RM3.03 bilion.

“Kami sedang memantau teliti perkembangan terkini, khususnya pengumuman penangguhan tarif selama 90 hari oleh Presiden AS Donald Trump.”

“Buat masa ini, farmaseutikal dilaporkan berada dalam senarai pengecualian, tetapi status peralatan perubatan masih belum jelas. Justeru, kami akan terus memantau situasi berkenaan,” katanya.

ADS

Menjawab soalan sama ada kementerian terbuka kepada rundingan harga, Dzulkefly berkata KKM terbuka kepada sebarang langkah untuk menyesuaikan dengan situasi semasa demi kepentingan negara.

“Itulah antara langkah yang sewajarnya. Namun, perkara ini bukan di bawah portfolio saya. Ia di bawah tanggungjawab Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Kewangan,” tambah beliau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS