ADS
mk-logo
Berita
Kes bunuh bekas suami: Wanita dipenjara 20 tahun

Mahkamah Tinggi di Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Nurima Juli selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bekas suaminya Nurman Bakaratu dua tahun lepas.

Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh pendakwaan semula tertuduh pada 26 April tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Lim berkata hukuman itu mengambil kira kepentingan awam, fakta kes dan pengakuan bersalah tertuduh sebelum perbicaraan bermula.

Sementara itu, adik tiri tertuduh Sadam Kiram dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pilihan yang sama mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pilihan, Nurima, 35, dan Sadam, 30. didakwa menyebab kanematian Nurman, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, dekat Tawau, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Jan 2023.

ADS

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh didenda.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, namun mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggugurkan pertuduhan itu.

Nurima sebelum ini menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes bunuh Nurman yang turut membabitkan bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Mat Zaki Md Zain serta tujuh individu lain.

Bagaimanapun, semua tertuduh dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan tidak meneruskan kes berkenaan susulan pengakuan Nurima yang menyatakan dia menikam mangsa ketika berada dalam kereta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, manakala Nurima diwakili peguam Mark Rosaidey Mohd Amin dan Sadam diwakili peguam Jhassary P Kang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS