Pemuda Amanah Perak hari ini membuat laporan polis terhadap calon PN Abd Muhaimin Malek, susulan dakwaan penipuan kelayakan akademik dalam permohonan tauliah mengajar agama di negeri itu.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Munzirie Kabir berkata laporan polis itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bagi mendesak siasatan segera terhadap kelayakan calon terbabit.
"Calon terbabit dipercayai telah memperoleh tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perak walaupun tidak layak — kerana memegang jawatan politik dan kini bertanding dalam pilihan raya.
"Ini bukan sahaja melanggar peraturan sedia ada, malah mengingkari titah duli yang maha mulia paduka seri Sultan Perak, selaku ketua agama Islam Negeri.

"Perlu ditegaskan, ini bukan isu remeh. Ini isu maruah institusi agama, integriti pentadbiran negeri dan kedaulatan Raja Berperlembagaan," katanya pada satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Munzirie turut mengingatkan bahawa Sultan Perak sendiri telah berulang kali memberi peringatan terbuka agar institusi agama tidak dijadikan alat kepentingan politik.
Dia menyifatkan cubaan memanipulasi proses tauliah sebagai penderhakaan terhadap titah dan perkenan Sultan Perak yang seharusnya dipelihara.
"Tindakan ini juga berkemungkinan melibatkan pemalsuan maklumat atau dokumen rasmi, yang merupakan satu kesalahan jenayah serius.
"Justeru, laporan ini dibuat agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tanpa kompromi, demi menjunjung semula keluhuran undang-undang serta titah raja pemerintah. Rakyat Perak berhak mengetahui kebenaran," katanya lagi.
Calon PN enggan ulas isu tauliah
Semalam, Abd Muhaimin enggan memberikan sebarang komen ketika ditanya berhubung dakwaan dia menipu pihak berkuasa agama untuk memperoleh tauliah mengajar.
Sebaliknya dia sekadar berkata pihaknya akan memberikan jawapan "bila tiba masanya".
“Kalau mengenai isu (tauliah) ini, saya tidak mahu beri sebarang komen.
"Saya hanya akan komen jika anda ingin bertanya tentang harapan saya kepada rakyat," katanya ringkas ketika ditemui Malaysiakini sebelum mengadakan lawatan di sekitar Kampung Raya, Tapah.