ADS
mk-logo
Berita
PSM gesa hapus kuasa mutlak MB Perak luluskan pembalakan

PRK AYER KUNING | Calon PSM bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Bawani KS, menggesa supaya kuasa mutlak Menteri Besar Perak dalam pemberian permit pembalakan dihentikan.

Katanya, ini susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap projek ladang yang kini telah diluluskan di kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong (HSK) di negeri itu.

"Pada masa ini menteri besar (MB) buat keputusan (berkaitan permit pembalakan) bersama seorang exco (yang dilantik oleh MB) dan Pengarah Perhutanan (yang juga ditentukan oleh MB).

"Terlalu banyak kuasa dipusatkan di tangan MB,” kata Bawani pada sidang media di pusat gerakan PSM di Ayer Kuning, hari ini.

ADS

Dia mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa bebas pemantau peringkat negeri ditubuhkan, dengan pelantikan ahli jawatankuasa diperkenan oleh Sultan Perak berdasarkan nasihat panel bebas.

Menurut Bawani (gambar atas), panel tersebut harus terdiri daripada seorang hakim bersara, seorang Adun kerajaan, seorang Adun pembangkang, wakil Majlis Peguam Perak, serta dua NGO alam sekitar.

Tegasnya semua ahli panel dan jawatankuasa itu mestilah penduduk Perak, memandangkan isu tanah dan hutan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Semua keputusan pemberian pembalakan harus mendapat kelulusan jawatankuasa tersebut. Jika jawatankuasa pemantauan tidak selesa dengan pemberian permit, isu itu harus dibentang di DUN untuk didebat dan diputus,” tambahnya.

Gambar fail.
ADS

Bawani berkata langkah ini akan mengurangkan risiko berlakunya "rasuah" serta pemberian permit pembalakan berdekatan kampung Orang Asli.

Dia turut menyarankan supaya kerajaan negeri mewajibkan semua syarikat pembalakan menyumbang satu peratus daripada hasil kasar jualan kayu ke dalam tabung pampasan, yang akan digunakan untuk membantu mangsa banjir dan konflik manusia-hidupan liar.

Projek ladang hutan cetus bantahan

Pada Februari 2023, Menteri Besar Saarani Mohamad berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah telah dimaklumkan mengenai projek di Hutan SImpan Kekal Kledang Saiong dan memberi jaminan bahawa ia tidak melanggar sebarang peraturan.

Gambar fail.

Sebelum itu, lapan NGO menghantar memorandum kepada pejabat Sultan Perak bagi memohon campur tangan baginda terhadap projek ladang monokultur seluas 4,280 hektar tersebut.

NGO berkenaan turut memohon Sultan Nazrin mengarahkan pihak berkuasa negeri mematuhi keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) pada Disember 2021 yang menetapkan moratorium 15 tahun ke atas kelulusan ladang hutan baru di hutan simpan kekal di Semenanjung.

Sementara itu, Penyelaras PSM Rani Rasiah turut memberi amaran projek tersebut bukan sahaja menjejaskan komuniti Orang Asli, malah turut membahayakan penduduk Melayu yang tinggal berhampiran kawasan terbabit.

Menurutnya, aktiviti pembalakan berpotensi menyebabkan banjir besar ke atas kampung-kampung Melayu yang hanya terletak 5km dari tapak projek.

ADS

“Ancaman banjir bukan sekadar andaian — ia benar-benar wujud sekiranya projek ini dilaksakan,” jelas Rani.

Selain itu, dia berkata projek itu juga memberi kesan kepada pelbagai spesies flora dan fauna yang ada di situ.

"Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) mencadangkan kaedah tangkap dan pindah, tetapi kawasan ini sangat terpencil — haiwan-haiwan tiada ruang untuk melarikan diri ke mana-mana.

"EIA ini sangat mengelirukan. Ia menganggap keseluruhan hutan sebagai 'terosot teruk' dan telah dibalak secara menyeluruh.

Gambar fail.

"Ini tidak benar. Jika benar, dari mana datangnya haiwan-haiwan yang masih ada di kawasan ini," soalnya yang hadir sidang media pusat gerakan PSM untuk PRK AYer Kuning.

Sebelum ini, Parti Hijau Malaysia telah menggesa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim supaya menolak laporan EIA projek tersebut, yang difahamkan telah diluluskan pada tahun lalu.

Menurut laporan yang diperoleh Malaysiakini pada 2023, projek itu bertujuan menanam produk hutan untuk penghasilan kayu balak, dengan spesies utama termasuk Eucalyptus, Khaya dan Kelampayan.

Projek ini melibatkan kawasan seluas 5,994 padang bola sepak dan akan diusahakan sebagai ladang hutan selama 50 tahun di kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS