ADS
mk-logo
Berita
DSP didakwa bunuh pelajar: Mahkamah tetapkan 3 hari dengar hujah

Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini menetapkan tempoh tiga hari iaitu 16 hingga 18 Julai ini untuk mendengar hujahan bagi pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung kes pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak yang dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dua tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nasrul Hadi Abdul Ghani ketika dihubungi berkata tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nazratul Natrah dalam prosiding secara Zoom atau secara dalam kamar ketika sebutan untuk pengurusan kes berkenaan pagi tadi.

Pada prosiding hari ini, ia turut disertai TPR M. Mognaraj manakala peguam Aiman Hakim Kamaruzzaman selaku pihak pembelaan.

Pada 17 Jan lepas, Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan 14 April untuk sebutan semula kes melalui Zoom bagi menentukan tarikh hujahan lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Mohd Nazri, 45, daripada pertuduhan atau diperintah untuk membela diri.

Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Ipoh, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis 2023.

ADS

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS