Ringkasan:
Anwar dan Xi Jinping mencerminkan kebijaksanaan Asia dalam menangani lojik ‘tanpa undang-undang’ berhubung tarif, kata Anthony Loke.
Loke sentuh berkaitan ‘pertembungan tamadun’ yang boleh membawa kesan buruk kepada dunia.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden China Xi Jinping – dengan berkata kedua-dua pemimpin itu mencerminkan kebijaksanaan Asia dalam menghadapi “lojik tanpa undang-undang” berkaitan tarif.
Dalam sindiran halus terhadap pentadbiran Donald Trump, Loke berkata manipulasi tidak rasional terhadap politik tarif menimbulkan kebimbangan bukan sahaja terhadap kemunduran perdagangan global, malah potensi berlakunya “pertembungan tamadun”.
“Kita juga amat bimbang terhadap kemungkinan berlakunya ‘pertembungan tamadun’, yang boleh membawa akibat yang amat dahsyat kepada dunia.
“Oleh itu, usaha Anwar memperjuangkan ‘Kebangkitan Semula Asia’ dan usaha Xi membina ‘komuniti dengan masa depan bersama untuk manusia sejagat’ kedua-duanya mencerminkan kebijaksanaan Asia dan menjadi penyeimbang kepada lojik kejam dan tanpa undang-undang berasaskan hukum rimba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Xi dijadual tiba di Malaysia esok bagi lawatan negara selama tiga hari. Loke dilantik sebagai menteri pengiring semasa lawatan Xi.
Lawatan itu berlangsung ketika pentadbiran Trump mengenakan tarif sebanyak 145 peratus ke atas eksport China, dan China bertindak balas dengan tarif 125 peratus ke atas eksport Amerika Syarikat (AS).
Namun, Trump mengecualikan produk elektronik dari China – termasuk telefon pintar dan komputer riba – daripada tarif tinggi tersebut, meskipun ia masih tertakluk kepada cukai sedia ada.
Anwar sebelum ini turut mengkritik tindakan awal pentadbiran Trump mengenakan tarif 47 peratus ke atas barangan Malaysia, dengan berkata pengiraannya tidak tepat.
Trump kemudian menghentikan kenaikan tarif ke atas Malaysia dan banyak negara lain kecuali China, bagi memberi ruang kepada rundingan.