Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Badan Peguam Malaysia membayar ganti rugi RM340,000 kepada Muhammad Shafee Abdullah berhubung samannya terhadap badan itu serta dua yang lain berkaitan kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam perbicaraan kes liwat.
Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Mahkamah Persekutuan pada 2021 memutuskan bahawa Badan Peguam bertindak menyalahi undang-undang dengan membenarkan dan menerbitkan usul mengutuk peguam kanan terbabit sebelum merujuk perkara berkenaan kepada lembaga tatatertib.
"Setelah mempertimbangkan dengan teliti keseluruhan keadaan dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah ini menilai ganti rugi yang boleh dituntut oleh plaintif terdiri daripada RM200,000 untuk kerosakan reputasi dan menyakitkan perasaan, RM100,000 untuk kehilangan peluang profesional, RM20,000 untuk tekanan mental dan akibat berkaitan kesihatan, dan RM20,00 untuk ganti rugi teruk.
"Jumlah keseluruhan RM340,000 mewakili pampasan yang adil, munasabah dan berkadar bagi pelanggaran yang dilakukan," kata Ahmad Shahrir.
Pada Mac 2015, Muhammad Shafee selaku plaintif menyaman Badan Peguam Malaysia, bekas Peguam Negara Tommy Thomas dan bekas hakim Mahkamah Rayuan VC George - dengan kedua-duanya adalah peguam bela pada masa itu - sebagai defendan.
Dia mendakwa Thomas menerbitkan dan mengemukakan usul pada 28 Feb 2015 untuk dibincangkan oleh mesyuarat agung tahunan Badan Peguam Malaysia pada 14 Mac tahun yang sama dan usul itu disokong oleh George.
Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Muhammad Shafee dan rayuannya berhubung keputusan itu ditolak Mahkamah Rayuan pada 11 Okt 2018.
Ia kemudian mendorong Muhammad Shafee membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 20 Okt 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Muhammad Shafee dan memutuskan bahawa dia berhak mendapat ganti rugi daripada Badan Peguam Malaysia dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke mahkamah tinggi untuk penilaian ganti rugi.
Bagaimanapun Badan Peguam Malaysia memfailkan semakan pada 19 Sept 2022 namun Mahkamah Persekutuan menolak semakan itu.
Muhammad Shafee ketika ditemui selepas prosiding berkata dia akan menderma wang itu kepada badan kebajikan, sama ada untuk kanak-kanak atau peguam uzur yang sedang menghadapi masalah melunaskan bil perubatan mereka.
- Bernama