Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan tunjuk pistol: Polis akan rakam keterangan Adun PKR minggu ini
Diterbitkan:  Apr 14, 2025 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Polis dijangka merakam percakapan Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad minggu ini berhubung dakwaan membuat ugutan dengan menunjukkan senjata api pada pemilihan PKR peringkat Cabang di Ipoh, semalam.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin bagaimanapun berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang masa atau tarikh tertentu kepada Adun berkenaan untuk memberi keterangan.

"Kita faham beliau juga sedang sibuk berkempen (Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning). Diharapkan beliau akan datang kepada pihak kita untuk dirakam keterangan minggu ini," katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, lapor Bernama.

Hisam berkata lapan saksi telah tampil memberi keterangan dan pihaknya sedang mengesan saksi lain yang dikatakan melihat kejadian itu sebagaimana dalam rakaman video yang tular.

Semalam, Arafat menafikan dakwaan dia menunjukkan sepucuk pistol kepada kumpulan pencabarnya semasa kempen pemilihan parti.

Dalam pemilihan itu, Arafat dicabar Shamsul Kamar Ani bagi jawatan ketua cabang PKR Tambun.

A Kalaimughilan, yang merupakan rakan sepasukan Shamsul memuat naik satu video mendakwa Arafat hadir dalam satu majlis sambutan hari raya dan menunjukkan pistol ke arah mereka.

Kalaimughilan bersama beberapa individu lain turut mendakwa mempunyai bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Bagaimanapun Arafat berkata dia telah membuat laporan polis berhubung tuduhan tersebut.

“Setiap kali tempoh pemilihan parti akan ada yang memfitnah untuk kepentingan politik calon yang menentang saya dalam pemilihan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS