Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa status Travel Control Order (TCO) yang dikenakan terhadapnya berbeza dengan individu lain.
Ahmad Samsuri berkata, apabila dia ditahan di lapangan terbang ketika ingin berlepas ke Sabah baru-baru ini, dia diminta mendapatkan pelepasan daripada pihak Cwangan Khas (SB) terlebih dahulu.
"Yang latest hari tu apabila saya ditahan di hadapan orang ramai, jadi saya tak dapat terima benda (penahanan) tu.
"Macam mana pula (dikatakan) TCO itu perkara biasa. Apabila saya ditahan saya perlu dapatkan clearance (pelepasan) cawangan khas (SB)," katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.
Samsuri mempersoalkan kenapa dia perlu mendapatkan pelepasan daripada pihak polis terlebih dulu sedangkan dia hanya ingin ke Sabah dan bukan ke luar negara.
"Nak pergi Sabah, Sarawak je pun, bukan nak pergi Amerika Syarikat (AS) ke. Nak pergi mana, dalam negeri, dalam negara kita sendiri," katanya yang mendakwa dikenakan TCO sejak tahun 2024.
Pada 10 April lalu, Ahmad Samsuri mendakwa dia berada dalam senarai TCO kerana merupakan individu yang dianggap berisiko atau berbahaya.
Pemimpin PAS itu juga mendakwa perkara itu menyebabkan dia diletakkan di bawah pengawasan berterusan, manakala telefonnya turut dipintas.
Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Razarudin Husain menjelaskan TCO sebenarnya merujuk kepada "pegawai kawalan perjalanan" iaitu pegawai polis cawangan khas yang bertugas di pintu masuk dan keluar negara.

Razaruddin turut menafikan Samsuri berada dalam senarai individu berbahaya dan menyangkal dakwaan telefonnya dipintas oleh pihak berkuasa.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail turut menafikan dakwaan pengawasan terhadap Samsuri.
Sebaliknya mereka menjelaskan bahawa kawalan keselamatan tersebut merupakan prosedur rutin yang dikenakan ke atas semua VVIP – termasuk mereka sendiri.
Dalam kenyataannya, Samsuri berkata dia hanya menyedari kewujudan TCO terhadapnya apabila menggunakan laluan biasa di lapangan terbang. Sebelum ini, dia menggunakan laluan khas sebagai Menteri Besar.
Diminta mengulas mengenai kenyataan ketua polis negara, Samsuri berkata dia akan Singapura selepas ini bagi mengetahui sama ada masih dikenakan TCO ataupun tidak.
"Kalau setiap kali saya keluar masuk perlu dilapor kepada cawangan khas bermakna masih ada lagi TCO," katanya lagi.
