Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lumba haram: JPJ beri amaran tidak kompromi pada penganjur

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran tegas terhadap penganjur dan peserta aktiviti lumba haram, terutamanya yang menjadikan lebuh raya sebagai litar lumba mereka.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan kumpulan itu bukan hanya membahayakan diri mereka, tapi mengganggu lalu lintas dan mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Saya ingin memberi nasihat dan amaran kepada penganjur-penganjur aktiviti rempit ini, kita tahu ada penganjur yang terlibat... kita tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di jalan raya," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran JPJ Pahang di Indera Mahkota, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.

Dia mengulas demikian selepas ditanya mengenai video tular sejak semalam yang menunjukkan sekumpulan mat rempit menghalang kenderaan lain bagi memberi laluan kepada mereka berlumba.

Berdasarkan rakaman video itu, perlumbaan haram berkenaan dirakam pada 12 April lalu sekitar jam 5 pagi, berhampiran kawasan rehat dan rawat Temerloh.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Aedy Fadly memaklumkan, pihaknya menyerahkan siasatan berkaitan perkara berkenaan kepada pihak polis terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

"Untuk (kes) yang berlaku dua hari lepas, yang itu kita serahkan dulu kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Bagi pihak JPJ, kita akan bagi kerjasama... sekiranya perlu, kita adakan Op Bersepadu (bersama polis) kerana untuk mengekang aktiviti rempit yang sangat 'organised' dan besar seperti ini, kita perlukan kerjasama agensi lain, JPJ tidak boleh bertindak sendirian," jelasnya.

Dia bagaimanapun memaklumkan sudah mengarahkan semua pegawai dan anggotanya bersedia sekiranya dipanggil pihak polis untuk melaksanakan operasi khas membabitkan aktiviti mat rempit ini.

Ditanya sama ada rakaman video tular itu adalah contoh aktiviti lumba haram yang terancang, Aedy Fadly memberitahu, kemungkinan besar ia dirancang oleh pihak penganjur atau pihak tertentu.

"Saya dimaklumkan sebegitu, cuma kita tunggu dulu (hasil siasatan) pihak polis," ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman 'dash cam' menunjukkan beberapa lelaki menahan kenderaan-kenderaan di Lebuh raya Pantai Timur, dekat Temerloh, Pahang.

Setakat ini, pihak polis Temerloh belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan video tular itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS