ADS
mk-logo
Berita
Kelantan muktamadkan semakan enakmen kawalan hiburan
Diterbitkan:  Apr 14, 2025 1:52 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Kerajaan Kelantan sedang memuktamadkan semakan terhadap Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 untuk memastikan undang-undang tersebut kekal relevan dan berkesan selaras dengan keperluan semasa.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata antara pindaan yang akan dibawa ialah cadangan untuk menaikkan denda sedia ada sebagai langkah untuk memberi pengajaran kepada individu dan badan korporat yang melanggarnya.

Katanya menerusi semakan tersebut beberapa seksyen akan diberi perhatian, termasuk memperkasakan penguatkuasaan agar lebih cekap, serta meningkatkan kadar denda untuk memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.

“Kerajaan negeri juga sedia maklum terdapat tujuh Adun yang ada latar belakang sebagai peguam, termasuk saya sendiri.

"Pada Rabu ini kami akan mengadakan mesyuarat exco untuk membincangkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebudayaan Islam 2025 di Dewan Putik, Pengkalan Chepa, hari ini.

ADS

Sementara itu, Mohamed Fadzli turut mengingatkan penggiat seni, khususnya pendikir barat dan persatuan dikir barat, agar terus mengembangkan seni tersebut dengan memelihara keaslian dan kemurniaannya.

Menurutnya, seni dikir barat perlu dijadikan medium untuk membentuk masyarakat dan membina sahsiah, justeru menjadi tanggungjawab pemain industri untuk memastikan ia tidak tercemar dengan unsur negatif.

“Sebagai contoh Wali Songo seperti Sunan Kalijaga - seorang tokoh dakwah terkenal di Nusantara yang menggunakan muzik, nyanyian dan persembahan budaya sebagai pendekatan menyampaikan ajaran Islam.

ADS

"Kejayaan beliau membuktikan bahawa seni dan budaya mampu menjadi wahana dakwah yang kuat.

“Kita berharap seni dikir barat, yang juga lambang budaya dan imej negeri Kelantan, tidak tercemar dengan kata-kata kesat, berunsur lucah dan sebagainya supaya ia boleh diterima sebagai seni yang murni,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS