Parti Putra mengecam tindakan kerajaan melalui pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ngah Kor Ming berkaitan peruntukan dana untuk projek pembangunan di kawasan parlimen Tapah menjelang pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning.
Perkara ini jelas perbuatan tidak bermoral yang cuba meraih undi melalui projek dan ini perbuatan terkutuk dan cakap tidak serupa bikin.
Malunya Kerajaan Madani.
Baca: Anwar pertahan Nga - 'Peruntukan RM6.13 juta diumum sebelum penaman calon'
Tindakan ini jelas melanggar prinsip ketelusan dan integriti dalam pengurusan dana awam yang diguna semasa menjelang PRK Ayer Kuning menjejaskan proses ketelusan demokrasi yang bersih dan bermoral.
Pengumuman dana di saat menjelang pilihan raya mengundang kecurigaan dan menimbulkan persepsi negatif tentang pengaruh politik dalam proses pilihan raya.
Ini merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip demokrasi yang adil dan bersih.
Parti Putra mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan yang jelik, kotor moral dan mencemarkan etika dan melanggar proses pilihan raya yang bersih.
Parti Putra komited bersuara dan apa saja bentuk rasuah, secara langsung atau tidak langsung dalam apa jua bentuk yg melanggar prinsip moral dan undang-undang demi keadilan dan demi keredhaan Allah SWT untuk rakyat memilih pemimpin secara bersih dan berakhlak.
SHAHRULUFTI SHARIF ialah ketua penerangan parti Putra.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.