ADS
mk-logo
Berita
Chean Chung persoal keputusan pemilihan Cabang Petaling Jaya
Diterbitkan:  Apr 14, 2025 10:52 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mengemukakan bantahan secara rasmi kepada PKR bagi mencabar kesahikan keputusan pemilihan parti itu untuk Cabang Petaling Jaya.

Dalam pemilihan yang berlangsung pada Sabtu lalu Lee menawarkan diri bertanding bagi jawatan ketua cabang tersebut yang disandang Hee Loy Sian. Hee merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya sebelum Lee.

Dalam pemilihan terbaru, Hee memperoleh 2,900 undi berbanding Lee yang mendapat 2,684 undi.

Kata Lee, sejak keputusan pemilihan bagi PKR Selangor diumumkan dia menerima pelbagai panggilan dan mesej yang membangkitkan persoalan proses itu dilaksanakan.

ADS

"Selepas berbincang bersama pasukan, saya telah membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada jawatankuasa pemilihan parti (JPP).

"Kami yakin PKR sebagai sebuah parti reformasi mempunyai sistem yang adil, dan melalui proses ini, kami berharap segala keraguan dapat diperjelaskan demi memastikan hak semua ahli parti dijaga dengan adil dan saksama," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum dipertaruhkan untuk mewakili PKR dan PH dalam PRU ke-15 lalu di Petaling Jaya, Lee merupakan Adun Semambu di Pahang, selain diberi kepercayaan menjadi bendahari agung untuk partinya.

Menanti keputusan bantahan

ADS

Selepas memenangi kerusi Petaling Jaya, Lee, 44, kini diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Komunikasi PKR.

PKR membenarkan mana-mana calon mengemukakan bantahan terhadap keputusan pemilihan parti yang mesti dikemukakan selewat-lewatnya 16 April ini.

Untuk membolehkan bantahan tersebut diteliti, pihak yang berkenaan dikenakan bayaran RM100.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang Petaling Jaya, persaingan itu juga menunjukkan keputusan menarik apabila Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Mohammad Fahmi Ngah, kalah kepada Ahmad Akhir Pawan Chik.

Muhammad Fahmi Ngah

Fahmi mendapat 2,684 undi berbanding Ahmad Akhir yang memperoleh 2,819. Mereka dibezakan oleh 135 undi.

Dalam kenyataan media hari ini, Lee memaklumkan pasukannya bagaimanapun memenangi jawatan ketua bagi sayap Wanita dan Pemuda, masing-masing melalui Maisarah Ismail dan Muhammad Nabil Halimi.

Kata Lee, dalam sistem demokrasi apa yang menjadi keutamaan bukan sekadar keputusan, tetapi juga proses yang telus dan berintegriti dipertahankan.

"Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terus bersama saya dalam perjalanan ini. Kita akan terus mara dengan semangat reformasi demi sebuah perjuangan yang adil, telus dan terbuka untuk semua.

"Kita menunggu keputusan bantahan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS