ADS
mk-logo
Berita
Samsuri pertahan dakwaan ditahan di lapangan terbang
Diterbitkan:  Apr 14, 2025 10:20 AM
Dikemaskini: 2:20 AM

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar tidak berganjak dari dakwaannya bahawa pihak berkuasa menandanya sebagai individu di bawah status 'Travel Control Office/Order' (TCO) dalam sistem kawalan sempadan.

Ini meskipun pihak berkuasa menafikan dia berada dalam senarai individu 'berisiko' .

Dia merujuk gambar yang telah tersebar di media sosial selama beberapa hari, menunjukkan dia duduk di kerusi di lapangan terbang yang sebahagiannya dikelilingi tali pembatas ruangan, sambil memegang telefon dengan bagasi di sisinya.

Samsuri memberitahu Harian Metro semalam bahawa gambar itu berkemungkinan diambil oleh orang awam ketika dia "ditahan" di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pada 7 April lalu.

"Tulisan saya yang mengandungi 18 para/point pada Khamis (10 April) itu telah saya tulis setelah terjadi kes "pull aside on hold" (untuk mendapat pelepasan dari polis Cawangan Khas) adalah ketika saya ke Sabah pada Ahad (6 April) dan pulang pada Isnin (7 April)," katanya.

ADS

Dia berkata dia ditarik ke tepi dan ditahan pada kedua-dua kejadian.

Gambar itu, yang dalam resolusi sangat rendah, nampaknya mula-mula disiarkan ke laman Facebook Teganukita.

Tangkapan skrin sembang orang yang menghantar gambar itu ke laman itu, mendakwa Samsuri berada di kawasan tahanan itu selama hampir sejam manakala rombongan menteri besar yang lain menunggu di kawasan awam.

ADS

Samsuri pada 10 April mendakwa ini kerana dia berada dalam senarai TCO yang dimaksudkan untuk individu yang dianggap berisiko atau berbahaya.

Dia juga mendakwa bahawa ini telah menyebabkan dia diletakkan di bawah pengawasan berterusan dengan telefonnya dipintas.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain menjelaskan bahawa TCO sebenarnya merujuk kepada "pegawai kawalan perjalanan" - pegawai polis cawangan khas yang bertugas di pintu masuk dan keluar negara.

Bagaimanapun, Razaruddin menafikan bahawa Samsuri berada dalam mana-mana senarai individu berbahaya, mahupun telefonnya dipintas.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah menafikan pengawasan yang dibuat ke atas Samsuri sebagai tidak lebih daripada butiran keselamatan rutin yang diletakkan pada semua VVIP - termasuk mereka sendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS