ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masyarakat Sikh, Tamil dan Malayalee sambut tahun baru esok

Masyarakat Tamil, Malayalee dan Sikh di seluruh negara bersiap sedia untuk menyambut perayaan tahun baru masing-masing iaitu Chittirai Puthandu, Vishu dan Vaisakhi pada esok.

Menurut kenyataan Malaysian Hindu Sangam, Tahun Baru Tamil yang juga dikenali sebagai ‘Visuvaavasu’ akan bermula pada 5.07 pagi.

Presidennya Thanga Ganesan berkata Tahun Baru Tamil jatuh dalam tahun bertuah 'Krothi' mengikut kalendar Hindu dan bermula pada hari ke-30 pada bulan Tamil Panguni (Ahad, 13 April).

"Detik bertuah untuk menyambut Tahun Baru Tamil itu dikenali sebagai Vishu Punniya Kaalam bermula 5.07 pagi hingga 1.07 petang pada 14 April," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Malayalee Seluruh Malaysia (AMMA) Dr Manohar Kurup berkata Vishu menandakan permulaan tahun dalam kalendar Malayalam serta melambangkan pembaharuan, kemakmuran dan pemeliharaan warisan budaya.

ADS

"Seisi keluarga akan bangun awal pagi untuk menyaksikan Vishukkani, diikuti dengan tradisi Vishukaineettam selain berkunjung ke kuil," katanya kepada Bernama.

Acara komuniti juga akan diadakan di seluruh negara, termasuk anjuran Persatuan Malayalee Selangor & Wilayah Persekutuan (SFTMA) di Bangsar.

Vishu tahun ini lebih bermakna kerana AMMA bakal menyambut ulang tahun ke-50 pada Ogos dan satu majlis makan tengah hari dirancang di Pusat Konvensyen IDCC di Shah Alam, dijangka dihadiri 2,000 tetamu.

ADS

Mengenai sambutan Vaisakhi oleh komuniti Sikh, Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia Paramjeet Singh Jai Singh berkata persiapan sedang giat dijalankan.

“Semua gurdwara sedang bersiap sedia untuk sambutan meriah dan pelbagai program seperti kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan dan aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan,” katanya.

Bagi penganut Sikh, Vaisakhi memperingati detik bersejarah - penubuhan Khalsa oleh Guru Gobind Singh Ji pada tahun 1699.

Sementara itu, masyarakat Thai menyambut Songkran iaitu Tahun Baru Thai pada hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS