Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, akhirnya meraih gelaran sulung mereka di Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang dan Liu Yi dari China, dalam aksi perlawanan akhir di Ningbo, China, hari ini.
Pilihan keenam kejohanan itu langsung tidak goyah meskipun berdepan sorakan kuat penyokong tuan rumah, apabila mereka menundukkan pasangan bukan pilihan tersebut dengan kemenangan 21-19, 21-17 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Kejayaan itu menjadikan Aaron-Wooi Yik sebagai pasangan Malaysia pertama menjuarai BAC sejak gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada tahun 2007.
Walaupun menang tanpa kalah dua set terus namun pertarungan sengit, apabila pasangan China berjaya menyamakan kedudukan 15-15 dalam set pertama selepas ketinggalan 0-3, sebelum Aaron-Wooi Yik menamatkan set dengan kemenangan 21-19.
Dalam set kedua, pasangan Malaysia bermula perlahan dan ketinggalan 9-11, namun bangkit menguasai permainan untuk mendahului 19-15, sebelum satu smash padu daripada Aaron menamatkan perlawanan dengan skor 21-17.
Kejayaan kali ini cukup berbeza berbanding penampilan terakhir mereka di final BAC pada tahun 2022 di Muntinlupa, Filipina, apabila mereka tewas kepada pasangan Indonesia Pramudya Kusuma-Yeremia Rambitan 21-23, 10-21.
Kemenangan di Ningbo ini juga melengkapkan kempen cemerlang Aaron-Wooi Yik yang tidak kehilangan sebarang set sepanjang kejohanan.
Antara kemenangan mengagumkan mereka ialah kejayaan mengejutkan pilihan kedua kejohanan dan pilihan utama tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang, dengan keputusan 21-12, 21-14 pada aksi separuh akhir, Sabtu lalu.
Sebagai juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$37,000 (kira-kira RM164,000), manakala Bo Yang-Liu Yi selaku naib juara menerima AS$17,500 (sekitar RM77,000).
