Adun Sri Tanjong Justin Wong berkata rakyat Sabah berharap skandal rasuah yang didakwa melibatkan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 'ditelanjangkan' di dalam Dewan Undangan Negeri.
Wong berkata, isu itu perlu dibahas ditangani semasa sidang kelima Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, yang bermula esok dan dijangka berlangsung selama empat hari - persidangan terakhir sebelum pilihan raya negeri Sabah ke-17.
"Bermula besok adalah peluang yang paling baik untuk membahas isu rasuah ini di dalam dewan yang mulia.
"Pemimpin GRS yang terlibat jangan sorok-sorok lagi, berani makan rasuah harus berani tanggung akibatnya.
"Rakyat Sabah berharap isu rasuah ini ditelanjangkan di dalam dewan, rakyat Sabah berhak mengetahui kebenarannya," kata pemimpin Warisan itu dalam satu kenyataan.
Skandal itu melibatkan Ketua Menteri Hajiji Noor, lapan Adun, selepas seorang pemberi maklumat yang juga ahli perniagaan mengaku menawarkan rasuah sebagai pertukaran untuk lesen cari gali mineral.
Beberapa siri video yang dirakam secara rahsia yang mendedahkan dakwaan salah laku itu kini sedang dianalisis oleh SPRM.
Kata Wong, skandal itu bukan saja menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia, malah ia juga dilaporkan oleh media berita antarabangsa seperti CNN, Channel NewsAsia, South China Morning Post dan lain-lain.
"Insiden ini telah memberi kesen yang serius kepada Sabah dan telah memusnahkan nama baik Sabah yang telah dibina oleh rakyat Sabah dari generasi ke generasi.
"Gara-gara kejahatan dan nafsu ketamakan mereka, seluruh rakyat Sabah kini perlu menanggung dosa mereka, sesuatu yang sangat tidak adil kepada kami.
"Kesalahan yang mereka lakukan telah memalukan dan mebebankan seluruh rakyat Sabah, perbuatan mereka tidak boleh dimaafkan," tambahnya.
Semalam, Adun Elopura Calvin Chong turut menggesa isu itu dibahaskan dalam persidangan akan datang. Bagaimanapun, dia mempersoalkan sama ada perbahasan seperti itu dibenarkan memandangkan Speaker Kadzim Yahya turut terbabit dalam kontroversi itu.
Pada bulan Mac, Kadzim menjawab dakwaan itu, menyatakan bahawa dia hanya meminjam RM50,000 dan tidak mengetahui dakwaan RM350,000 yang dirujuk dalam video pemberi maklumat yang diterbitkan oleh Malaysiakini.