Polis hari ini menafikan satu hantaran viral di Facebook yang mendakwa kononnya tentera telah dikerahkan untuk menangani rotes oleh pekebun durian di Raub, Pahang.
Ini susulan beberapa halaman Facebook memuat naik video pendek yang menunjukkan empat kenderaan tentera melintasi satu kawasan, dengan kapsyen mendakwa pekebun durian menyekat jalan sehingga pihak berkuasa terpaksa mendapatkan bantuan Angkatan Tentera.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, seperti dipetik Bernama, berkata tiada pergerakan mahupun arahan daripada kerajaan negeri mengenai penglibatan tentera dalam operasi berkenaan.
Siasatan Malaysiakini turut mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dipaparkan dalam video selama 25 saat itu sebenarnya milik Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan.
Menurut sumber tentera, batalion tersebut berpangkalan di Bintulu, Sarawak dan tidak mungkin dikerahkan untuk operasi di Pahang.
Pada Khamis lalu, pekebun durian di Raub bertembung dengan anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) ketika pihak berkuasa menebang pokok Musang King di atas tanah yang dipertikai berhampiran Sungai Klau.
Sehari sebelumnya (Rabu), Malaysiakini melaporkan sekumpulan pekebun durian yang terlibat dalam pertikaian tanah dengan kerajaan Pahang mendakwa kerajaan negeri telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok Musang King.
Sebagai respons, kerajaan negeri Pahang menafikan dakwaan melanggar perintah mahkamah tersebut, dengan penasihat undang-undang negeri, Saiful Edris Zainuddin berkata pokok-pokok itu berada di atas tanah yang diduduki secara haram dan oleh itu tidak dilindungi oleh perintah mahkamah.
Sementara itu, Yahaya memberitahu Bernama bahawa polis menerima tiga laporan berkenaan operasi tersebut daripada UPNP, pihak polis dan sebuah NGO.
“Kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang penjawat awam melaksanakan tugas,” katanya