Pengurusan Hospital Kuala Lipis membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat kejadian bayi kembar yang dirawat selama sembilan bulan dilarikan oleh seorang doktor palsu di situ.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius kes berkenaan dan siasatan awal telah dilaksanakan.
“Siasatan mendapati tiada bayi kembar seperti yang didakwa telah menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak hospital itu dan kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis ialah pada Julai 2024.
“Bagi dakwaan wujudnya doktor palsu yang bernama Dr Amalina Husna merawat bayi itu selama sembilan bulan pula, didapati tiada rekod bagi kewujudan doktor tersebut pernah bertugas di Hospital Kuala Lipis," katanya.
Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat oleh pengurusan tertinggi Hospital Kuala Lipis semalam bagi mengelakkan sebarang berita tidak berasas disebarkan sewenang-wenangnya sehingga boleh menjejaskan kredibiliti serta integriti pengurusan serta perawatan di Hospital Kuala Lipis dan jabatan kesihatan khususnya.
Jabatan itu turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam penyebaran maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya.
Semalam, satu hantaran di laman Facebook bertajuk ‘Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh Doktor Palsu di Hospital Kuala Lipis’ tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.
- Bernama
