ADS
mk-logo
Berita
Gejala sosial: Usaha kerajaan semata-mata takkan berjaya
Diterbitkan:  Apr 12, 2025 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Kerajaan Kelantan sudah memainkan peranan sebaik mungkin dalam usaha mereka mencegah gejala sosial di negeri itu, namun usaha tersebut tidak akan berjaya jika ibu bapa tidak memainkan peranan masing-masing.

Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud, berkata semua pihak khususunya ibu bapa wajib bersungguh-sungguh menjaga diri sendiri dah ahli keluarga daripada azab api neraka.

Katanya, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program pendidikan di masjid, surau dan sekolah bagi mencegah gejala tersebut.

“Kita telah berusaha sebaik mungkin namun, jika ibu bapa tidak memainkan peranan mereka memantau anak masing-masing, usaha ini sukar untuk berjaya.

“Setiap individu wajib menjaga diri dan ahli keluarga masing-masing daripada api neraka,” katanya seperti dilapor lidah rasmi PAS, Harakahdaily, semasa dia menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

ADS

Kelantan menjadi antara negeri yang sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti kes rogol dan sumbang mahram yang didakwa menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun.

Terbaru polis mendedahkan bagaimana seorang remaja perempuan dihamilkan oleh sepupunya yang baru berusa 11 tahun.

Insiden itu, kata polis, melibatkan kes suka sama suka.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamatm berkata sebanyak 252 kes direkodkan pada 2024 berbanding 206 kes pada 2023, melibatkan peningkatan sebanyak 22.3 peratus.

Apa yang membimbangkan, katanya, ialah ada dalam kalangan pelaku terlibat terdiri daripada remaja berumur seawal 10 tahun.

Antara faktor yang menyumbang, tambah Mohd Yusoff, termasuklah konflik keluarga, kelalaian ibu bapa, percintaan bawah umur, serta pengaruh bahan lucah yang mudah diakses melalui telefon bimbit.

Nassuruddin berkata apa yang dinyatakannya itu bukan bererti kerajaan negeri bersikap lepas tangan, bahkan mereka sentiasa membincangkan isu sosial dan mencari pendekatan terbaik dalam mendidik rakyat Kelantan.

Pada masa sama dia menegaskan, gejala sosial termasuk kes rogol bukan hanya berlaku di Kelantan.

Pun begitu, tambah Nassuruddin, kerajaan negeri tetap memandang serius perkara itu dan berusaha menanganinya.

“Kerajaan berharap ibu bapa lebih peka dalam mendidik anak-anak memandangkan masa mereka lebih banyak dihabiskan di rumah,” tambahnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS