PRK AYER KUNING | Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Jenny Choy, membela Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang didakwa menyalahgunakan jentera kerajaan baru-baru ini.
Choy yang juga Adun Canning di Ipoh itu berkata, dia ada bersama Nga dalam beberapa majlis baru-baru ini termasuk ketika menteri terbabit mengumumkan peruntukan sebanyak RM6,130,719 untuk 33 projek pembangunan dan infrastruktur di kawasan Parlimen Tapah.
Katanya Nga – yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan – turut mengumumkan beberapa peruntukan lain sebelum kerusi Adun Ayer Kuning kosong ekoran kematian penyandangnya.
“Awal tahun ini, menteri ada membuat lawatan ke Taiping dan dia turut mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk menaik taraf pasar dan Taman Madani.
"Ketika itu tiada PRK untuk Taiping atau mana-mana kerusi DUN di bawahnya juga," katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.
Semalam, NGO pendesak pembaharuan pilihan raya, Bersih, mengecam tindakan Nga mengumumkan peruntukan projek ketika kawasan Tapah – khususnya Ayer Kuning – bakat berdepan dengan PRK.
Bersih menganggap langkah Ahli Parlimen Teluk Intan itu sebagai menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen menarik pengundi agar menyokong calon kerajaan perpaduan.

Bersih turut membangkitkan garis panduan “3C” yang dikeluarkannya pada 2023 untuk pilihan raya negeri di Kedah, Penang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
Garis panduan itu menetapkan bahawa tiada syarat, tiada kempen, dan tiada penglibatan calon dalam sebarang acara rasmi kerajaan bagi mengelakkan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan politik.
Choy berkata, sejak dua setengah tahun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan lebih 30 projek Sentuhan Kasih yang diluluskan untuk manfaat rakyat.
“Semakan fakta mudah akan menjelaskan bahawa Sentuhan Kasih 1.0, 2.0 dan 3.0 adalah rutin aktiviti turun padang oleh KPKT,” katanya.
Tambah Choy, majlis seumpama itu dilaksanakan untuk melancarkan sesuatu projek dan memaklumkan kepada rakyat mengenainya bagi memastikan ia dilaksanakan sebaik mungkin.
Untuk Perak saja, katanya, Nga sudah melaksanakan Sentuhan Kasih di banyak lokasi termasuk Ipoh, Teluk Intan, Taiping, Manjung, Batu Gajah, Kampar, Sungai Siput, Gerik, Kuala Kangsar dan Tapah.
Selain Bersih, Putra turut mengecam Nga dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa terbabit serta mengambil tindakan tegas.
Ketua Penerangan Putra, Shahrulutfi Sharif, berkata pengumuman projek pembangunan menjelang PRK mengundang kecurigaan dan menimbulkan persepsi negatif tentang pengaruh politik.
