Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EU rancang tindak balas jika rundingan dengan AS gagal
Diterbitkan:  Apr 12, 2025 11:20 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

Kesatuan Eropah (EU) mengutamakan rundingan dengan Washington, namun blok itu merancang tindakan balas terhadap AS sekiranya rundingan tarif tidak mencapai keputusan memuaskan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Fahaman perlindungan dan pendekatan “America First” oleh Presiden Donald Trump merenggangkan hubungan di antara EU dan AS. Kedua-dua pihak mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan terbesar di dunia dengan jumlah tahunan melebihi AS$1.7 trilion.

Bagaimanapun, dasar agresif dan retorik keras Trump dalam penggal pertama dan kedua dilihat melemahkan persepsi mengenai perikatan bersama.

Eksport EU ke AS berjumlah AS$605.8 bilion, manakala import AS ke blok itu mencecah AS$379.9 bilion pada tahun lepas, menurut data yang dikumpul oleh AA.

Ini menyaksikan EU mencatat lebihan dagangan sebanyak AS$225.8 bilion, sesuatu yang tidak disenangi oleh Trump.

Negara-negara EU turut kecewa dengan tindakan Trump mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap keluli dan aluminium, dan EU menyatakan ia akan bertindak balas dengan pantas dan berkadar walaupun masih mengutamakan rundingan.

Pada masa sama, Washington turut mengenakan tarif timbal balik sebanyak 25 peratus ke atas industri automotif EU.

EU juga berdepan tarif timbal balik sebanyak 20 peratus ke atas keseluruhan blok itu.

Usaha EU untuk berunding bagaimanapun tidak mendapat maklum balas positif daripada Rumah Putih menyebabkan blok itu bersedia untuk bertindak balas terhadap tarif keluli dan aluminium melalui tindakan balas berperingkat dengan yang pertama bermula pada 15 April.

Trump berkata lebih 75 negara sedang berunding dengannya mengenai tarif dan tidak bertindak balas.

Tarif timbal balik asas sebanyak 10 peratus masih akan kekal berkuat kuasa sepanjang tempoh penangguhan itu, sekali gus memberi ruang kepada negara-negara Eropah untuk bernafas.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen menyambut baik penggantungan tarif itu sebagai langkah penting ke arah penstabilan, sambil menegaskan EU komited terhadap usaha rundingan.

Dia berkata blok itu akan mempelbagaikan rakan perdagangannya dengan menjalinkan kerjasama dengan negara lain yang menyumbang 87 peratus daripada perdagangan global, di samping mempercepatkan usaha menghapuskan halangan dalam pasaran dalaman blok itu.

Ursula turut mengumumkan EU akan menangguhkan tindakan balas terhadap AS sepanjang tempoh 90 hari itu bagi memberi ruang dan masa secukupnya untuk proses rundingan.

- Bernama/AA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS