Ketua Pemuda Warisan, Terence Au, mengingatkan rakan sejawatnya dari Parti Maju Sabah (SAPP) bahawa rakyat kini lebih matang dari segi politik dalam menilai isu pendatang tanpa izin di negeri ini.
Au berkata, jika Pemuda SAPP benar-benar serius mahu melindungi Sabah daripada isu pendatang tanpa izin, mereka sepatutnya bermula dengan menangani punca sebenar—dan yang lebih penting, menyemak semula rekod prestasi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan kerajaan negeri.
“Pada tahun 2020, jumlah pendatang di Sabah direkodkan sebanyak 810,410 orang. Menjelang tahun 2024, angka itu meningkat mendadak kepada 1,043,400—peningkatan sebanyak 232,900 dalam tempoh hanya empat tahun.
“Peningkatan mendadak ini berlaku ketika SAPP menjadi sebahagian daripada kerajaan GRS, yang telah memerintah sejak tahun 2020.
“Jika benar Sabah sedang menghadapi ancaman demografi, maka anda juga perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku semasa pentadbiran anda sendiri. Apakah tindakan konkrit yang telah diambil oleh parti anda untuk mengurangkan kemasukan PTI? Di mana hasil penguatkuasaan? Di mana keazaman politik?" soal Au.
SAPP menjadi anggota PN dan komponen GRS selepas Pilihan Raya Negeri 2020, namun menarik diri daripada PN tahun lalu susulan desakan gabungan itu untuk bertanding dalam PRN akan datang.
Au turut berkata, Pemuda SAPP kelihatan lebih selesa menyerang ‘satu nota kecil’ bertarikh 2019 yang telah dijelaskan secara terbuka oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berbanding menangani isu sebenar peningkatan jumlah pendatang.
“Nota itu yang menyebut “sukacita dapat diluluskan” bukan satu kelulusan, bukan satu arahan, dan bukan jalan pintas.
“Ia hanyalah satu sokongan atau cadangan, dan pihak JPN telah mengesahkan bahawa tiada mana-mana nota politik boleh menggantikan proses undang-undang yang sah.
“Setiap permohonan masih perlu melalui tapisan ketat, semakan latar belakang dan pematuhan undang-undang," katanya merujuk kepada dakwaan Ketua Pemuda KDCA, Steve Johnny Mositun terhadap Presiden Warisan, Shafie Apdal.
Dakwaan Mositun timbul selepas tersebarnya surat sokongan daripada Shafie yang menyokong permohonan kad pengenalan pemastautin sementara (MyKas), dalam surat bertarikh 26 April 2019.
Sebelum ini, JPN menjelaskan surat sokongan daripada pemimpin politik, agensi kerajaan dan NGO boleh dipertimbangkan, namun tidak menjamin kelulusan permohonan.
Dalam kenyataan lanjut, Au turut mengingatkan SAPP bahawa Presiden mereka, Yong Teck Lee, pernah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dalam kes Likas pada tahun 1999 akibat kewujudan pengundi hantu yang dibuktikan di mahkamah.
“Itu bukan cerita politik—ia adalah fakta kehakiman.
“Jika nota marginal Warisan dianggap sebagai “isyarat politik”, maka apa pula gelaran untuk projek pemberian IC secara besar-besaran melalui Projek IC, yang berlaku di bawah budaya politik yang pernah anda sokong?
“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah menamakan individu yang terlibat. Jika anda benar-benar mahu mempertahankan identiti Sabah, anda sepatutnya menuntut akauntabiliti bermula daripada sejarah yang telah merosakkan negeri ini—bukan memilih isu secara selektif untuk dijadikan modal politik murahan," tegas Au.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Chen Ket Chuin, berkata parti itu telah menghantar surat tuntutan kepada pihak yang mendakwa Shafie menyokong permohonan kewarganegaraan daripada pendatang asing.
