Di wad kanak-kanak Hospital Nasser, seorang ibu, Samia Ashour, 35, duduk di sisi anak lelakinya, Ibrahim, yang berusia 50 hari dan hanya seberat kurang dua kilogram. Tubuh kecil itu hampir tidak bergerak, matanya tidak mampu menjejaki pergerakan, sementara ibunya yang kelihatan cengkung dan sugul hanya mampu mendodoi perlahan, seolah-olah berharap anaknya kembali bertenaga.
“Saya menyusukannya setiap hari,” katanya perlahan. “Tapi dia makin kurus di depan mata saya.”
Ashour, ibu kepada empat anak mengalami kekurangan zat makanan sepanjang kehamilannya, hanya bergantung kepada satu hidangan ringan setiap hari.
“Itu sahaja makanan yang kami ada. Tiada sayur, tiada protein, tiada susu,” katanya.
Apabila Ibrahim dilahirkan, beratnya kurang daripada satu kilogram. Dia memerlukan susu formula, namun bekalan itu langsung tidak ada.
“Kalau saya ada duit sekalipun, tiada apa yang boleh dibeli. Pintu sempadan ditutup. Rak-rak di kedai kosong,” katanya.
Lintasan Sempadan Kerem Shalom - laluan utama bantuan ke Gaza - ditutup pihak berkuasa Israel pada 2 Mac lepas. Sejak itu, tiada satu pun trak bantuan membawa makanan, ubat-ubatan atau susu formula dibenarkan memasuki wilayah Palestin itu.
Israel mendakwa penutupan itu dibuat selepas Hamas enggan melanjutkan gencatan senjata sementara serta melepaskan tahanan Israel.
Namun di Gaza, di mana lebih dua juta penduduk - hampir separuh daripadanya berusia bawah 18 tahun - terperangkap, sekatan ini telah mencetuskan apa yang kini digambarkan kumpulan bantuan sebagai kebuluran buatan manusia. Kelaparan melanda kawasan kejiranan umpama satu gelombang perang kedua.
“Kanak-kanak ini tidak bersalah... kenapa mereka perlu menderita begini?” tangis Ashour penuh keperitan. “Adakah dilahirkan sebagai rakyat Palestin kini umpama hukuman mati?”
Hanya 25 kilometer ke utara, di Bandaraya Gaza, seorang lagi ibu berkongsi penderitaan sama.
“Anak perempuan saya tidak menangis. Tidak bergerak. Hanya matanya sahaja yang terbuka dan tertutup,” kata Reham Khamis, 29. Bayinya, Rana, berusia 20 hari dan kini menerima rawatan kecemasan di Hospital Al-Ahli Arab.
“Dia kebuluran. Begitu juga kami,” katanya.
Dengan susu formula hampir mustahil diperoleh dan air bersih sangat sukar didapati, ramai ibu bapa terpaksa mencampurkan bahan pengganti yang tidak selamat dengan air tercemar - langkah terdesak yang sering kali lebih memudaratkan.
“Ini bukan lagi perang antara tentera. Ini adalah perang terhadap kanak-kanak,” kata Khamis.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan lebih 60,000 kanak-kanak kini berisiko mengalami komplikasi serius akibat kekurangan zat makanan. Ramai seperti Ibrahim dan Rana masih belum bertambah berat badan sejak dilahirkan - petanda kritikal keadaan mereka semakin merosot.
Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Nasser, Dr Ahmed al-Farra berkata ramai bayi di Gaza kini mengalami berat badan rendah dan tumbesaran terbantut. Ada ibu bapa yang terpaksa memberi susu formula untuk kanak-kanak lebih besar - yang lazim khasiatnya tidak mencukupi malah boleh memudaratkan bayi.
Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut memberi amaran bahawa sekatan bantuan ini adalah yang paling lama dan paling dahsyat sejak perang bermula.
“Tanpa akses bantuan kemanusiaan segera, lebih ramai kanak-kanak akan mati - bukan kerana bom, tetapi kerana kelaparan dan penyakit,” katanya. Hampir 10,000 bayi berusia bawah usia enam bulan kini sangat memerlukan sokongan pemakanan yang betul, kata UNICEF.
Kempen vaksinasi kanak-kanak juga terhenti sepenuhnya. Pihak berkuasa kesihatan memberi amaran tentang ancaman penyakit seperti polio dan campak - virus yang mudah menjangkiti sistem imun lemah dan pantas merebak di tempat perlindungan sesak.
Petugas bantuan memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang peringkat yang tiak boleh ditarik balik. Sekalipun bantuan dibenarkan masuk esok, kerosakan yang berlaku terhadap ribuan kanak-kanak mungkin sudah tidak dapat dipulihkan.
Bagi ibu seperti Ashour dan Khamis, penantian ini terlalu menyakitkan.
“Saya hanya mahu dia terus hidup,” bisik Ashour sambil mendakap anaknya. “Saya melahirkannya ke dunia. Dan kini saya hanya mampu melihat nyawanya melayang perlahan-lahan.”
- Bernama